Polemik pelaksanaan PRU dan risiko banjir

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

Isu pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) dan risiko banjir terus menjadi polemik sejak kebelakangan ini.

Meskipun setiap parti politik masing-masing senada dalam menzahirkan kesediaan mereka menghadapi PRU akan datang, ia tidak menenggelamkan kebimbangan mereka yang merasakan PRU masih tidak sesuai dibuat waktu terdekat.

Bahkan, pada Ahad Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri menyuarakan perkara sama.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan pada tahun ini disebabkan taburan hujan tinggi dan risiko bencana banjir yang dijangka berlaku pada pertengahan November ini.

Ini berdasarkan ramalan keadaan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, negara akan menerima taburan hujan yang lebih pada pertengahan November ini berbanding bulan-bulan lain.

Malah terbaharu berlaku kejadian banjir kilat yang melanda enam buah kampung sekitar Kayu Ara Pasong di Johor pada Ahad.

Ini susulan hujan lebat dan pertembungan air pasang besar selain disifatkan penduduk sebagai yang terburuk pernah dialami dalam tempoh 30 tahun.

Hal ini menunjukkan taburan hujan tinggi dan risiko bencana banjir yang berlaku pada bila-bila masa menjadikan PRU pada tahun ini tidak sesuai diadakan supaya tidak menimbulkan masalah kepada rakyat yang berhadapan dengan musibah banjir dan terjejas akibat bencana tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kejadian banjir yang berlaku di negeri Johor baru-baru ini mungkin boleh dijadikan pengajaran kepada semua pihak terutama pemimpin politik bagi berhati-hati dalam membuat perancangan untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini.

Sementara itu, pelbagai parti di negara ini mula membuat persiapan untuk menghadapi PRU15.

Parti Warisan (Warisan) menyasarkan akan bertanding lima negeri di Semenanjung pada PRU akan datang.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata, Warisan akan memastikan ada calon Warisan akan bertanding di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Johor.

Selain itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kenyataan Exco Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mendakwa beliau akan melepaskan kerusi Parlimen Port Disckson untuk bertanding di Parlimen Ampang pada PRU15 akan datang.

Anwar berkata, beliau tidak pernah mengumumkan untuk bertanding di Ampang seperti dakwaan Mohd Rashid dan menganggap kenyataan itu sengaja dibuat untuk dia mempertahankan penyandang kerusi Parlimen terbabit, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Kongres Khas DAP 2022 pada Ahad pula meluluskan pindaan perlembagaan yang melarang wakil rakyatnya melompat parti seiring pelulusan Rang Undang-Undang Antilompat Parti oleh Parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pindaan itu yang disokong oleh 632 perwakilan, manakala dua menentang akan dihantar ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dalam masa terdekat agar ia dapat dilaksanakan sebelum PRU15.

Persediaan untuk menghadapi PRU kini menjadi tumpuan bagi mana-mana parti politik di negara ini.

Bagaimanapun masalah risiko banjir terus menjadi isu dalam kalangan rakyat yang mahukan pilihan raya diadakan pada masa bersesuaian selain ada yang mencadangkan diadakan pada tahun hadapan.

Hal ini bagi memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat sentiasa terjaga selain tidak menyulitkan rakyat yang terhimpit sama ada perlu mengundi dan menghadapi masalah banjir termasuk rumah rosak dan kehilangan harta benda.

Tambahan pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan kos PRU15 dijangka cecah RM2 bilion jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Hal ini kerana kos PRU lalu lebih RM1 bilion apabila dilakukan secara serentak.

Jika ia diadakan dua kali iaitu Parlimen dalam masa terdekat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama kemudian sudah tentu kos meningkat dua kali ganda.

Terdapat enam kerajaan negeri enggan membubarkan DUN serentak dengan pembubaran Parlimen seandainya kerajaan ingin meneruskan niat membubarkan Dewan Rakyat tahun ini.

Perkara ini sudah tentu menyebabkan kos mengadakan PRU15 meningkat dan tidak hairan sekiranya kos pilihan raya yang diadakan dalam masa terdekat akan mencecah 2 billion.

Sekiranya PRU diadakan dua kali, ia akan membebankan pengundi yang perlu memikirkan kos untuk pulang mengundi terutama bagi mereka yang tinggal jauh di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.