Banjir: Johor lihat semula projek perumahan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KULAI - Kerajaan Johor akan melihat semula projek perumahan baharu bagi memastikan pemaju turut menumpu kepada pembangunan di sekitar kawasan projek terlibat termasuk menambah baik sistem saliran dan parit monsun.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, langkah itu merupakan antara perancangan bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri itu.

"Dalam satu projek perumahan, biasanya di peringkat pemaju hanya buat kolam takungan dan longkang yang airnya akan mengalir ke longkang atau parit monsun yang tidak diselenggara.

"Apabila tidak diselenggara, aliran air pula semakin bertambah dan parit monsun yang dibina 10 hingga 20 tahun lepas tidak dapat menampung air itu. Sebab itu, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas ini kita kena lihat perkara ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Geran Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi 2022 di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 36 daripada 106 kawasan ‘hot spot’ banjir di Johor adalah terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Menurutnya, ini mungkin kerana Johor Bahru antara bandar raya tertua dengan kawasan pembangunan yang padat, banyak perumahan lama dan apartmen tinggi membuatkan aliran air sangat mempengaruhi bagi berlakunya banjir.

"Pagi ini kalau kita tengok, hujan lebat tidak sampai dua jam (tetapi telah) menyebabkan jalan di Wisma Persekutuan dinaiki air.

"Di peringkat MBJB, memang sudah berbincang dari segi teknikal (untuk tangani) dan akan dilaksana segera, jika isu air pasang dan hujan lebat kita akan guna sistem pam keluarkan air masuk ke laut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 33 pelajar yang menyambung pelajaran di peringkat ijazah dan diploma di daerah Kulai menerima wang saguhati daripada Yayasan Sejahtera Kulai dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM22,000. - Bernama