[VIDEO] Projek perumahan swasta bermasalah tunjuk trend penurunan

Akmal Nasrullah pada sidang media diadakan di Perbadanan PR1MA Petaling Jaya pada Selasa.
Akmal Nasrullah pada sidang media diadakan di Perbadanan PR1MA Petaling Jaya pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Statistik projek perumahan swasta yang lewat, sakit dan terbengkalai menunjukkan penurunan sejak task force bagi menangani isu tersebut ditubuhkan pada 30 Disember lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bagi tempoh 31 Disember 2022 sehingga 31 Mac 2023 sebanyak 80 projek perumahan swasta dalam kategori sakit telah berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Menurutnya, 12 projek sakit juga telah dipantau sehingga kembali lancar dan mengikut jadual pembinaan.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan 92 projek membabitkan 6,700 unit dianggarkan bernilai RM5 bilion berjaya dikeluarkan daripada senarai projek sakit bagi suku tahun pertama ini.

"Bagi suku pertama 2023, pasukan task force menumpukan kepada kaedah pengesanan yang lebih terperinci supaya kita dapat mengenal pasti data keseluruhan projek perumahan berlesen dan mengesan pergerakan projek swasta yang lancar, lewat, sakit dan terbengkalai," katanya pada sidang akhbar status terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di Perbadanan PR1MA di sini pada Selasa.

Beliau berkata, statistik semasa sehingga 31 Mac lalu menunjukkan 435 projek dikategorikan sebagai sakit, 110 projek lewat dan dan 112 projek dikategorikan sebagai terbengkalai.

Katanya, melalui task force yang diadakan, KPKT berjaya mengenal pasti sebanyak 95 projek perumahan swasta sakit menghadapi isu berkaitan utiliti seperti sambungan bekalan elektrik, pembetungan, bekalan air, kemudahan jalan dan perparitan yang menjadi kekangan pemaju menyiapkan projek mengikut jadual dirancang.

"Ini menunjukkan masalah kelewatan projek bukan hanya di peringkat pemaju (kewangan syarikat, pekerja) tetapi melibatkan pihak ketiga (syarikat utiliti).

"Bagi memastikan ada tindakan yang proaktif dari KPKT dan task force, kami akan adakan perbincangan dua hala bersama agensi utiliti berkaitan untuk memudah cara dan mencari penyelesaian terbaik," katanya.

Ujar beliau, pihaknya akan mengatur pertemuan dengan agensi tersebut secara berperingkat dimulakan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka bulan ini.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM29 juta bagi suntikan dana dalam usaha menyelesaikan projek sakit dan terbengkalai sedia ada.

"Task force sedang menilai untuk tumpukan dana ini kepada projek terbengkalai di bawah kategori harga rumah di bawah RM300,000 atau projek yang hampir siap.

"Isu sakit, lewat dan terbengkalai ini merupakan isu yang agak mencabar kerana itu adalah tanggungjawab pemaju. Apabila gagal berbuat demikian maka ia bukan lagi isu untuk menyalahkan mana-mana kerana pihak pembeli hanya inginkan rumah mereka disiapkan.

"Disebabkan itu, kita bukan hanya tumpu projek di bawah kelolaan kerajaan tetapi juga di peringkat syarikat-syarikat swasta," katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, KPKT turut memberikan penumpuan terhadap projek perumahan sakit di bawah kelolaan PR1MA dan syarikat di bawah KPKT.

"Kami menetapkan 10 daripada 20 projek sakit di bawah PR1MA disiapkan tahun ini. Lapan projek sakit telah berjaya disiapkan dan menerima CCC.

"Ia meliputi Residensi Taman Raia Sentosa, Perak; Residensi Woodford Estate Fasa 1, Sabah; Residensi Kota Tinggi, Johor; Residensi Ranggu, Sabah; Residensi Sitiawan Fasa 2, Perak ; Residensi Pelangi Indah, Johor; Residensi Seri Mahkota (Sungai Ular), Kedah dan Residensi Bandar Bukit Mahkota, Selangor, " katanya.