Majikan jangan hanya bergantung pekerja Bangladesh, Indonesia

M Saravanan - Foto Bernama
M Saravanan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menasihatkan majikan di negara ini agar tidak hanya bergantung kepada pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia yang kini dilihat semakin meningkat.

Sebaliknya beliau berkata, mereka perlu mencari alternatif daripada 12 lagi negara yang telah dibuka.

Menurutnya, kebergantungan kepada dua negara tersebut sedikit sebanyak menimbulkan kesulitan kerana syarat yang terlalu banyak.

"Apabila kita bergantung kepada satu atau dua negara sahaja, terlalu banyak syarat. Bukan senang untuk saya sebagai Menteri untuk menyempurnakan semua permintaan mereka disebabkan saya perlu jaga kebajikan warga tempatan.

"Maka, kita perlu melihat di luar kotak untuk mengambil pekerja-pekerja asing dari negara-negara lain," katanya memetik laporan Astro Awani pada Ahad.

Pada Rabu, Saravanan dilaporkan berkata, Jemaah Menteri bersetuju bagi pengambilan 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka dengan mengambil kira keadaan negara tersebut yang dilanda krisis ekonomi ketika ini.

Menurutnya, kerajaan Sri Lanka telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 September lepas bersetuju bagi pengambilan pekerja tersebut dan ia merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu negara Sri Lanka yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk di negara itu.

Artikel Berkaitan: