'Guna wang untuk belajar, bukan beli rokok'

Mohd Iqbal (tengah) bergambar bersama pelajar SMK Seksyen 19 ketika lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, di sini pada Jumaat. - Foto IPD Shah Alam
Mohd Iqbal (tengah) bergambar bersama pelajar SMK Seksyen 19 ketika lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, di sini pada Jumaat. - Foto IPD Shah Alam
A
A
A

SHAH ALAM - Pelajar sekolah dinasihatkan supaya menggunakan wang saku yang diberikan oleh ibu bapa untuk pembelajaran bukan membeli rokok.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata demikian semasa menyampaikan amanat dan nasihat ketika lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, amalan merokok bukan sahaja perbuatan sia-sia, malah tidak mendatangkan faedah kepada seseorang.

"Jangan mula dengan (amalan) merokok di peringkat sekolah kerana wang diberi oleh ibu bapa adalah untuk belajar.

"Selain itu, ia memudaratkan diri dan boleh menjurus ke arah gejala tidak sihat," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal menegaskan dalam amanatnya kepada pelajar, untuk fokus kepada pembelajaran serta melibatkan diri dalam aktiviti persatuan di sekolah.

Kata Mohd Iqbal, pelajar juga tidak perlu menyertai kumpulan-kumpulan di luar sekolah yang dikhuatiri membawa tabiat buruk seperti gengsterisme.

"Sudah cukup (aktiviti) persatuan di sekolah. Tidak perlu sertai kumpulan di luar yang (mungkin) ada unsur gengsterisme," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, SMK Seksyen 19 di sini adalah sekolah kedua dilawati oleh Mohd Iqbal menerusi program Ramah Mesra STEM KPD Shah Alam Bersama Guru dan Murid.

Mohd Iqbal berkata, program tersebut dianjurkan bagi mewujudkan sinergi dan kerjasama antara sekolah dengan pihak polis.

"Sebelum ini kita memang ada pegawai perhubungan sekolah untuk melaporkan sebarang masalah di sekolah ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

"Dari situ, saya boleh memperoleh maklumbalas tentang lawatan ke sekolah oleh pegawai-pegawai atau isu yang ingin diketengahkan kepada saya supaya murid dan guru-guru lebih rapat.

"Bila pelajar sedar mereka diperhatikan dan guru-guru tahu polis bersama mereka, ia dapat mengurangkan masalah disiplin," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Seksyen 19, Rohana Jaafar berharap kerjasama berterusan antara pihak PDRM, ibu bapa dan anggota masyarakat.

"Dengan jumlah pelajar 2,600 sudah pasti pelbagai ragam kami hadapi. Namun saya yakin dengan sokongan semua kita mampu melahirkan generasi masa hadapan berkualiti."

Hadir sama di program itu ialah Timbalan Ketua Polis Shah Alam Superintendan Ramsay Anak Embol; Pengetua SMK Seksyen 19, Rohana Jaafar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seksyen 19, Hashim Anang.