'Kali pertama isu seperti ini dibangkitkan di mahkamah'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, mereka tidak pernah berhadapan keadaan dokumen yang diklasifikasikan rahsia, dijadikan subjek dalam prosiding mencabar kredibiliti saksi.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Hisyam berkata, ini kali pertama beliau berhadapan dengan situasi dokumen yang telah diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dijadikan subjek dalam prosiding berkenaan.

“Sepanjang (40 tahun) karier saya sebagai pengamal undang-undang, ini kali pertama isu seperti ini dibangkitkan di mahkamah.

“Maka kami memerlukan masa untuk membuat penyelidikan sebelum membuat hujahan,” katanya

Mendengar perkara itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan bagi membolehkan pihak pembelaan membuat persediaan.

Semasa prosiding pagi Khamis, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memulakan prosiding berkenaan terhadap Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna (M) Sdn Bhd, Jefri Jamil.

Difahamkan, pendakwaan mencabar kredibiliti saksi pembelaan ketiga itu kerana keterangannya di mahkamah pada Khamis dikatakan berbeza dengan kenyataan yang diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding, Jefri ditanya mengenai pembayaran pembinaan sebuah masjid dan sekolah menengah agama di Masjid Tanah, Melaka mengunakan cek Yayasan Akalbudi.

Prosiding kemudiannya disambung dengan saksi pembelaan keempat, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Suriani Ahmad memberi keterangan.

Ketika membaca pernyataan bertulis, Suriani berkata, Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd (PRSB) dilantik sebagai Operasi Pusat Sehenti (OSC) di Nepal dan Pakistan selepas kebenaran untuk menjalankan OSC di Dhaka, Bangladesh bagi permohonan pemprosesan Visa Malaysia telah dibatalkan pada 11 November 2015.

Ketika prosiding pada 12 Disember 2019, Penolong Pengurus Maybank cawangan Dataran Maybank, Harryade Mohamad Arbe berkata, Ahmad Zahid telah menerima dana politik menerusi cek bernilai RM1 juta daripada syarikat PRSB pada Januari 2018.

Bagaimanapun, pada 26 Mei lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menafikan pernah meminta RM2 juta daripada pengarah syarikat PRSB atau mana-mana pihak lain.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bersambung 31 Oktober depan.