Tiga faktor hasil buku ‘Korupsi, Kemunafikan Dalam Politik Melayu'

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (dua dari kiri) berkenan menyempurnakan gimik pelancaran buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu. Turut sama Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri), Prof Emiritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Reseach, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff. Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB & ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (dua dari kiri) berkenan menyempurnakan gimik pelancaran buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu. Turut sama Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri), Prof Emiritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Reseach, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff. Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB & ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keadaan pandemik korupsi dan kemunafikan politik bangsa Melayu yang amat memalukan dan menjijikkan ibarat penyakit kanser di peringkat terminal menjadi antara pendorong utama buat sarjana akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan untuk menghasilkan buku ‘Korupsi, Kemunafikan Dalam Politik Melayu'.

Jelas Mohd Kamal, selain faktor berkenaan, sebagai seorang Muslim beliau bertanggungjawab kepada ALLAH SWT untuk menunaikan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar.

"Kemungkaran sudah demikian bobrok terutama setelah meletupnya gunung berapi yang bernama 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), iaitu skandal kleptokrat sebesar itu sepatutnya telah mencetuskan tsunami politik yang akan mengubah landskap politik Melayu dan parti politik Melayu.

"Tetapi malangnya ia tidak menimbulkan transformasi dalaman yang saya harapkan, akibatnya kemunafikan berterusan, fitnah-menfitnah, tipu helah dan konspirasi menjadi satu kebiasaan baru dan banyak nilai-nilai dan norma agama yang sudah dianggap tidak penting lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah titah ucapan pelancaran buku ‘Korupsi, Kemunafikan Dalam Politik Melayu' di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Menurut Mohd Kamal, akibat daripada itu Malaysia ditanggapi oleh masyarakat antarabangsa sebagai antara negara yang korup di dunia.

"Saya bertambah malu dan hati berasa akan ditanya di hari pembalasan nanti apa yang kamu buat untuk mencegah kemungkaran seburuk itu.

"Sekian lama faktor ketiga saya percaya jalan keluar daripada krisis yang amat parah ini memerlukan bukan sahaja reformasi politik dan perubahan struktural dan undang-undang tetapi satu transformasi akhlak dan budi pekerti yang besar-besaran," katanya.

Katanya, sebagai ahli akademik non partisan, beliau sebelum ini tidak pernah terfikir akan menulis buku tentang politik di Malaysia, namun keadaan yang mendesak telah menyebabkannya menghasilkan karya berkenaan.

"Kita semua maklum bahawa akhir-akhir ini ramai cendekiawan Melayu dan bukan Melayu, ulamak dan umarak yang berasa amat kecewa dengan fenomena kehilangan etika dan akhlak mahmudah dalam budaya politik Melayu. Ramai yang mengeluh, marah dan meluat melihat keadaan politik tidak beretika berterusan menggoncang kestabilan negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah memetik dalam buku saya, pertama dalam naskhah berbahasa Inggeris dan dalam naskhah terjemahan dalam bahasa Melayu yang ada sekarang, banyak pandangan kritis yang disuarakan melalui media, khususnya dalam kalangan intelligentsia yang non-partisan.

"Saya beri perhatian kepada kritikan-kritikan tajam oleh Tun Musa Hitam, Tan Sri Hamid Bador dan lain-lain," katanya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku tersebut.

Buku terbitan EMIR Research itu merupakan buah fikiran daripada tokoh akademik dan cendekiawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

Sebagai tuan rumah pelancaran buku tersebut, Kumpulan Karangkraf turut menganjurkan wacana khas yang disiarkan secara langsung bagi membincangkan isu rasuah di negara ini.

Wacana khas tersebut menampilkan panel berprofil tinggi iaitu Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar; Profesor Seni Bina Islam Universiti UCSI, Prof Dr Mohd Tajudin Mohd Rasdi serta Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.

Sesi wacana khas itu dikendalikan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Hadir sama, Tan Sri Hamid Albar; Tan Sri Musa Hitam dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!