Wanita didenda RM56,000 guna dokumen palsu bagi laporan Mitra

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua pegawai pentadbiran sebuah syarikat didenda RM56,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan penyata akaun dan baucar bayaran palsu bagi penyediaan laporan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), tahun lepas.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap J Jayasri Nair, 30, yang mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan dihadapinya dan memerintahkan wanita itu dipenjara 32 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah mengenakan denda RM20,000 manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, wanita itu didenda masing-masing RM18,000.

Mengikut pertuduhan pertama, Jayasri sebagai Ketua Pegawai Pentadbiran Syarikat Famox Plantation (M) Sdn Bhd didakwa menggunakan penyata akaun bank syarikat itu di Agro Bank Berhad bertarikh 21 April 2021 yang palsu bagi penyediaan laporan di pejabat Mitra di Putrajaya pada 28 Julai 2021.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh menggunakan dua baucar palsu, masing-masing berjumlah RM6,400 bertarikh 3 Januari 2021 dan 23 Mei 2021 di tempat dan tarikh sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, syarikat tersebut telah menerima surat tawaran Geran Pembangunan Kewangan Mitra 2020 bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarkat India B40 di Malaysia melalui bidang pertanian pada 5 November 2020 dengan peruntukan sebanyak RM1,206,030 melibatkan 120 peserta selama 40 hari.

Oleh itu, pihak syarikat dikehendaki menyediakan Laporan Berkala dan Laporan Akhir sebagai bukti penggunaan wang itu (RM1,206,030), namun wanita itu telah memalsukan penyata akaun bank syarikat dan dua baucar bayaran dalam laporan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan sama selain mengambil kira faktor kepentingan awam.

Peguam PG Cyril merayu agar anak guamnya tidak dipenjarakan atas alasan wanita itu mempunyai anak yang masih kecil, berusia enam bulan selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. - Bernama