Mentari sedia bantuan, rawatan kesihatan mental

Dr Nor Azmi (depan, tengah) bergambar bersama tetamu dan pelajar yang terlibat dalam Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Adtec Jerantut pada Rabu.
Dr Nor Azmi (depan, tengah) bergambar bersama tetamu dan pelajar yang terlibat dalam Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Adtec Jerantut pada Rabu.
A
A
A

JERANTUT - Kewujudan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di negeri ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan bantuan kesihatan mental.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus memberitahu, orang ramai boleh datang secara terus (walk-in) ke pusat tersebut bila-bila masa pada waktu pejabat.

"Jika rasa tidak sedap hati, terus datang... Mentari diwujudkan untuk lebih membantu komuniti untuk mendapatkan rawatan jika sekiranya merasakan ada masalah yang mengganggu fikiran mereka.

"Kalau ke hospital, orang ramai akan pergi ke klinik sakit jiwa, pada waktu itu ada stigma negatif dilemparkan kepada mereka, jadi orang ramai boleh pergi ke Mentari untuk luahkan perasaan," katanya lagi.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita sempena Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2022 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Jerantut di sini pada Rabu melibatkan 200 pelajar daripada lima buah sekolah sekitar Jerantut.

Terdapat dua Mentari di Pahang iaitu di Mentakab, Temerloh dan Balok di Kuantan setakat ini.

Dr Nor Azimi (dua dari kanan) menyampaikan hadiah pertandingan cipta kain rentang yang dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura, Jerantut.
Dr Nor Azimi (dua dari kanan) menyampaikan hadiah pertandingan cipta kain rentang yang dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura, Jerantut.

Ujar beliau lagi, semua pihak juga perlu memainkan peranan dalam mengurangkan dan membendung kes bunuh diri yang kini merupakan antara 10 penyebab kematian di dunia serta penyebab ke-4 kematian bagi mereka berumur 15 hingga 29 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan terdapat lebih 703,000 kes kematian bunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.

"Pada tahun 2019, satu dalam 100 kematian adalah disebabkan bunuh diri. Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan seramai 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi," kata Nor Azimi.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu kempen itu akan dijalankan secara berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

"Jabatan Kesihatan negeri juga menyediakan bantuan psikososial melalui talian Kesihatan Mental dan Sokongan Psikologi (MHPSS) di semua daerah yang dikendalikan pegawai psikologi (kaunseling) yang boleh didapati di laman sosial JKN Pahang," tambah beliau.