Lelaki bakar diri dekat pejabat PM Jepun di Tokyo

Anggota pihak berkuasa menyiasat lokasi seorang lelaki membakar diri dekat pejabat Perdana Menteri di Tokyo pada Rabu. - Foto Kyodo/Reuters
Anggota pihak berkuasa menyiasat lokasi seorang lelaki membakar diri dekat pejabat Perdana Menteri di Tokyo pada Rabu. - Foto Kyodo/Reuters
A
A
A

TOKYO - Seorang lelaki sanggup membakar dirinya berhampiran pejabat Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Tokyo pada Rabu.

Menurut media tempatan, lelaki berkenaan melakukan perbuatan tersebut selepas menyatakan penentangan terhadap majlis pengebumian negara yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri negara tersebut, Shinzo Abe.

Lelaki itu turut dibawa ke sebuah hospital setelah melecur di seluruh badan untuk mendapatkan rawatan.

Dia yang berumur dalam lingkungan 70-an tidak sedarkan diri ketika pertama kali ditemui.

Namun, lelaki itu kemudian memberitahu polis bahawa dia sengaja menyiram dirinya dengan minyak, lapor media.

Abe ditembak mati pada 8 Julai lalu ketika sedang berkempen manakala majlis pengebumian negara ke atasnya yang dibiayai secara terbuka untuk menghormatinya akan diadakan pada 27 September ini.

Beliau menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali iaitu dari tahun 2006 hingga 2007 dan dari tahun 2012 hingga 2020.

Namun, dalam kejadian lelaki membakar diri itu, pihak polis, Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Kabinet enggan mengulas mengenai laporan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut TV Asahi, lelaki itu membakar dirinya selepas memberitahu polis dia menentang majlis yang dirancang untuk Abe itu.

Stesen televisyen berkenaan berkata, seorang anggota polis yang cuba memadamkan kebakaran tersebut turut mengalami kecedaraan.

Agensi berita Kyodo dan media lain menyatakan bahawa polis telah dipanggil ke tempat kejadian sekitar jam 7 pagi waktu tempatan selepas menerima laporan bahawa seorang lelaki bertindak membakar diri.

Ia melaporkan bahawa terdapat sekeping nota berhampiran lelaki itu dan dia menyatakan bantahannya terhadap majlis pengebumian tersebut.

Seorang wartawan AFP di lokasi itu juga berkata, beberapa jam kemudian, dia melihat tompokan rumput dan belukar yang hangus manakala anggota-anggota polis serta media berada dekat dengan tempat kejadian. - Agensi