Kerajaan sokong media tempatan diberi kebebasan lapor berita

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berucap pada Majlis Penyampaian Cek Larian Amal Putra 2023 di Galeri Jualan IOI, pada Sabtu. - Foto Bernama
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berucap pada Majlis Penyampaian Cek Larian Amal Putra 2023 di Galeri Jualan IOI, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Kerajaan Perpaduan menyokong usaha untuk menjadikan media tempatan bebas dalam membuat laporan berita menerusi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, langkah itu adalah sebagai satu kaedah semak dan imbang, dengan agensi media dan individu perseorangan perlu dipertanggungjawabkan terhadap pelaporan berita mereka.

"Sudah pasti (menyokong kebebasan media tempatan), tetapi media perlulah bertanggungjawab terhadap laporan mereka agar tiada pertelingkahan timbul, kerana kadangkala kita terima aduan daripada masyarakat awam contohnya ada gambar kanak-kanak bawah umur dipaparkan, berita palsu atau 'berat sebelah’, itu bukan pelaporan yang bertanggungjawab.

"..sekiranya tindakan terhadap media diambil oleh kerajaan, itu akan menimbulkan persoalan adakah wujud motif di sebalik tindakan itu, jadi lebih baik satu badan bebas ditubuhkan demi kebaikan industri media tempatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Larian Amal Putra IOI di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada penubuhan MMC bakal memberi jaminan kebebasan media tempatan secara sepenuhnya atau sebaliknya.

Justeru, Teo berharap Rang Undang-Undang (RUU) berhubung penubuhan MMC boleh dibawa ke Parlimen tahun ini agar usaha menubuhkan majlis berkenaan dapat direalisasi dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, dengan adanya MMC yang bakal dikendali pihak industri sendiri, ia mampu meningkatkan imej dan kredibiliti agensi media tempatan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ahli MMC akan melibatkan beberapa kategori dengan majoriti daripadanya merupakan pemain industri media tempatan.

"Kategori pertama adalah pemilik syarikat atau agensi media, kedua adalah petugas media atas kapasiti individu dan ketiga pula pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan industri media termasuk ahli akademik.

"Beberapa wakil kerajaan akan turut serta (sebagai ahli majlis) namun majlis itu akan tetap dikendalikan sepenuhnya oleh pemain industri sendiri bagi memastikan ia bebas daripada kawalan kerajaan," katanya.

Pada 11 Mei lepas, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilaporkan berharap Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan MMC boleh dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini sama ada dalam sesi Oktober, atau mungkin Februari atau Mac 2024. - Bernama