EmpowerNCER bantu Perak capai koridor TVET 2030

Saarani menyempurnakan penyampaian sijil sempena Majlis Konvokesyen EmpowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar pada Selasa.
Saarani menyempurnakan penyampaian sijil sempena Majlis Konvokesyen EmpowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar pada Selasa.
A
A
A

LENGGONG - Kerajaan Perak berhasrat mencapai Koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia menjelang 2030 sepertimana yang dirangka dalam Pelan Perak Sejahtera.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi mencapai status itu, kerajaan negeri menyediakan ruang pendidikan yang luas serta kursus-kursus latihan termasuk di bawah program empower Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) atau dikenali empowerNCER.

Menurutnya, program empowerNCER telah berjaya meningkatkan kemahiran 2,400 rakyat Perak kalangan wanita, belia, graduan menganggur kumpulan B40 dan masyarakat Orang Asli sejak dimulakan pada 2019 lalu.

"Ambil peluang dengan adanya Perak sebagai koridor TVET Malaysia. Mereka boleh menempatkan diri kerana ada banyak organisasi yang menganjurkannya.

"Daripada lebih 100 institusi pendidikan tinggi (IPT) yang terdapat di negeri ini, 62 IPT adalah yang menyediakan subjek TVET, sama seperti yang dianjurkan oleh NCER ini," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Konvokesyen EmpowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Dewan Serbaguna, Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Modal Insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datin Shahdee Ahmad.

Dalam majlis itu, seramai 400 peserta empowerNCER menerima sijil masing-masing selepas berjaya mengikuti kursus kemahiran dan keusahawan yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, menjelang 2030 nanti, lebih banyak kilang perusahaan dibuka di negeri ini dengan peluang pekerjaan yang tinggi.

"Keadaan itu sudah tentu memberi keutamaan kepada mereka yang mempunyai sijil TVET sama ada sijil kemahiran penuh atau pun separa mahir," katanya.

Sementara itu, peserta empowerNCER, Rohaida Awang, 41, berkata, kursus bakeri dan pastri yang disertai pada Disember lalu telah membantu melonjakkan pendapatannya tahun ini kepada RM5,000 sebulan.

Seramai 400 peserta empowerNCER menerima sijil masing-masing selepas berjaya mengikuti kursus kemahiran dan keusahawanan yang disediakan.
Seramai 400 peserta empowerNCER menerima sijil masing-masing selepas berjaya mengikuti kursus kemahiran dan keusahawanan yang disediakan.

Ibu kepada lapan anak itu berkata, kemahiran keusahawanan yang diperolehi juga membantunya merancang perniagaan dengan lebih baik hingga boleh melantik empat ejen jualan di sekitar Ipoh dan Sungai Siput.

"Sebelum ini saya berniaga kuih dan jualan nasi lemak dengan pendapatan hanya cukup-cukup makan sahaja.

"Alhamdulillah, selepas melalui kursus ini, saya mampu buka jualan roti dengan pendapatan cecah empat angka sebulan," katanya.

Muhammad Kamarul Aswad Kamarul Zaman, 32, pula memilih menyertai kursus kimpalan untuk menambah kemahiran sedia ada dalam perkhidmatan baik pulih rumah, pendawaian elektrik dan pemasangan paip.

Ujarnya, sebelum ini, sekiranya ada permintaan pelanggan untuk perkhidmatan besi dan pemasangan grill, dia terpaksa mencari individu lain untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.

"Saya bekerja sendiri, jadi dengan kemahiran baru ini, dapatlah saya cari pendapatan lebih," kata bapa tiga anak itu.

Bagi Mira Anjang, 44, dari Pos Piah, empowerNCER memberi peluang sama rata kepada komuniti orang asli menempatkan diri dalam keusahawanan.

Dia yang membuka kedai runcit mampu menambah pendapatan menerusi jualan roti yang dihasilkannya sendiri selepas mengikuti kursus bakeri dan pastri di bawah program itu.

"Di kedai selain ada gula, susu dan sardin, saya juga jual roti, pau, dan roti sosej," katanya.