Penyakit ASF: Dua ladang babi dikesan di Kerian, Perak

Kenyataan media dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Isnin.
Kenyataan media dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada Isnin mengesan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di dua ladang babi komersial di daerah Kerian, Perak.

JPV dalam satu kenyataan memaklumkan, pengesanan itu dibuat melalui ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh pada 17 dan 18 Disember 2022.

“Setakat ini, wabak adalah terkawal dan jangkitan hanya berlaku di daerah Kerian. Pemindahan keluar babi dan produk babi dari zon pemantauan dikawal dengan ketat,” kata kenyataan itu.

Menurut JPV, antara tindakan kawalan dan pencegahan rebakan penyakit ASF yang telah dilaksanakan termasuklah ladang dijangkiti telah disita dan ditahan daripada sebarang pergerakan keluar masuk babi serta kenderaan selain pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersial di kawasan terjangkit.

"Selain itu, tindakan survelan lapangan akan terus dipergiat dari masa ke masa dan siasatan serta persampelan pada babi komersial di ladang serta rumah sembelih di Perak. Bilik gerakan di DVS Perak dan Pejabat Veterinar Daerah Kerian juga telah diaktifkan dengan penglibatan Pejabat Daerah Kerian.

“Memperketatkan syarat pindah babi dan produk babi dari negeri Perak ke seluruh Semenanjung Malaysia selain libat urus dan kempen kepada pengusaha ladang babi komersial untuk memperketatkan biosekuriti ladang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, JPV menasihatkan orang ramai untuk tidak panik kerana penyakit ASF tidak berjangkit pada manusia.

JPV turut menggesa penternak agar membuat laporan dengan kadar segera kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri berdekatan atau terus ke Hotline Bilik Pengurusan Krisis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya menerusi talian 03-88702041 jika terdapat sebarang kematian luar biasa melebihi lima ekor.

Artikel Berkaitan:

"Penternak juga dinasihatkan untuk tidak menghantar babi ke rumah sembelih sekiranya ada tanda klinikal disyaki penyakit di ladang.

“Kenderaan pengangkut babi mesti melalui proses disinfeksi secara menyeluruh sebelum dan selepas keluar dari kawasan rumah sembelih,” katanya.