Sediakan dana pampasan mangsa penipuan dalam talian

Fahmi (dua dari kanan) pada sidang akhbar mangsa penipuan dalam talian di ibu pejabat PKR pada Isnin.
Fahmi (dua dari kanan) pada sidang akhbar mangsa penipuan dalam talian di ibu pejabat PKR pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mencadangkan penyediaan mekanisme pampasan seperti dana pemulihan (recovery fund) kepada mangsa penipuan dalam talian.

Fahmi berkata, dana itu bagi membantu mangsa mendapat bantuan pampasan sebaik mungkin melalui pindaan akta-akta berkaitan.

"Contohnya Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) (Akta 642) supaya dapat menjamin atau menyediakan insuran dan pampasan bagi simpanan yang terkesan dengan jenayah scammer," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin berhubung tujuh cadangan membantu mangsa dengan memperkemas sistem perbankan bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa scammer.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut meminta sistem pengesahan transaksi diberi perhatian dengan mengubah kod pengesahan transaksi (SMS TAC) kepada sistem yang lebih selamat dan tepat identiti.

"Contohnya pengesahan berdasarkan peranti yang didaftar pemilik akaun dengan bank.

"Selain itu, mengarahkan pihak bank atau institusi kewangan melakukan pengesahan secara panggilan bagi transaksi yang melibatkan jumlah besar atau berulang serta pindahan yang di luar kebiasaan," tambahnya.

Beliau turut menggesa, kerajaan mengambil langkah mewajibkan pihak bank dan institusi kewangan yang terbabit dengan transaksi kewangan dalam talian (contohnya e-wallet) untuk mendedahkan kes penipuan dan kecurian di dalam buka laporan tahunan masing-masing.

"Ia supaya pemegang saham dan orang ramai tahu keadaan sebenar bagi setiap bank atau e-wallet dan dapat membuat keputusan yang bijak berkaitan simpanan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama perlu diadakan perbincangan segera dengan pengusaha platform digital media sosial yang paling kerap disalah guna oleh scammer untuk aktiviti jenayah, bagi mengambil langkah-langkah pantas menghalang platform-platform tersebut daripada terus disalah guna untuk aktiviti pihak terbabit," kata beliau.

Ujarnya, pelaku perlu dikenal pasti segera, ditahan dan didakwa di mahkamah termasuk yang terlibat membuat panggilan scammer atau melindungi penjenayah.

"Kerajaan perlu mendapatkan kerjasama ASEAN dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah sekiranya pusat-pusat panggilan atau aktiviti jenayah scammer tersebut berpangkalan di luar negara.

"Pusat sehenti bantuan mangsa penipuan juga perlu diwujudkan sekurang-kurangnya di tiga lokasi serta pusat koordinasi anti-scammer pelbagai agensi berpangkalan secara fizikal di Bank Negara Malaysia," katanya.

Beliau berharap langkah segera dilakukan bagi membantu memastikan duit simpanan rakyat kekal selamat dan kepercayaan rakyat terhadap sistem perbankan dalam talian tidak luntur.