5 kondominium jadi pusat panggilan penipuan dalam talian diserbu

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Satu operasi khas dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyerbu premis disyaki digunakan pihak sindiket penipuan dalam talian sebagai pusat panggilan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu lima buah premis kondominium yang dijadikan pusat panggilan pada 22 Mei lalu.

Beliau berkata, daripada lima kondominium yang diserbu itu, tiga di kawasan Ampang dan dua lagi di Cyberjaya, Selangor.

Menurutnya, hasil serbuan di lima premis terbabit, pihak polis berjaya menangkap 38 ahli sindiket terdiri daripada 21 lelaki dan enam wanita warga tempatan, sembilan lelaki serta seorang wanita warga China dan seorang lelaki warga United Kingdom.

"Kesemua suspek berusia 16 hingga 40 tahun. Polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk aktiviti jenayah tersebut iaitu 31 unit komputer riba, 54 telefon bimbit, lima router internet, tiga modem, sebuah iPad dan satu anak kunci.

"Sindiket dipercayai telah beroperasi selama dua minggu dengan menyasarkan mangsa warganegara China.

"Setakat ini, kerugian keseluruhan masih tidak dapat dikenal pasti ekoran kesemua mangsa terdiri daripada warganegara China," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hussein berkata, siasatan mendapati ahli sindiket yang ditangkap adalah pekerja di pusat panggilan tersebut dan ditugaskan menghubungi mangsa menggunakan talian telefon atau komputer riba melalui aplikasi media sosial.

Menurut beliau, sindiket memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai rakan atau menjalankan penipuan belian barangan atau perkhidmatan.

Jelasnya, pusat-pusat panggilan tersebut dijadikan hab oleh sindiket membabitkan aktiviti penipuan dalam talian merentasi sempadan negara dan antarabangsa.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda.

Sehubungan itu katanya, polis memberi amaran keras untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau kumpulan sama ada warga tempatan atau warganegara asing yang cuba menjadikan negeri Selangor khasnya dan Malaysia amnya sebagai hab atau pusat aktiviti jenayah penipuan dalam talian.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan aktiviti sindiket jenayah penipuan dalam talian.

"Tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan jenayah tersebut.

"Selain itu, orang ramai juga diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan taktik sindiket menggunakan media sosial dan rangkaian internet dalam talian bagi menipu mangsa," ujarnya.