Perdana Menteri digesa tubuh RCI siasat kecurian data

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat insiden kecurian data peribadi di Malaysia dalam lima tahun kebelakangan ini.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, ini susulan laporan menerusi akhbar bahasa Mandarin, Sin Chew Daily pada 15 September lalu yang mendakwa sistem E-Penyata Gaji Kerajaan telah dibolosi oleh penjenayah siber yang mungkin telah mencuri satu juta set data peribadi serta dua juta slip gaji adalah amat membimbangkan.

"Jika benar, ia bermaksud segala data peribadi penjawat awam termasuk ahli-ahli jemaah menteri telah dicuri dan bakal dijual penjenayah siber.

"Insiden ini adalah satu pencerobohan yang menjejaskan keselamatan peribadi bukan sahaja penjawat awam malah pimpinan utama negara.

"Ia adalah satu krisis keselamatan siber negara yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Ini merupakan insiden kecurian data berskala besar keempat yang dilaporkan bagi tahun ini dan dianggarkan lebih 25 juta set data peribadi dicuri sehingga kini untuk tahun ini sahaja," katanya dalam catatan di laman Facebook, pada Sabtu.

Tambah Fahmi, pada masa sama Ismail Sabri perlu mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan untuk segera melakukan audit keselamatan siber (cyber security audit) bagi mengenal pasti dan menutup segala kelompongan atau eksploit keselamatan siber yang membolehkan penjenayah siber terus mencuri data peribadi rakyat Malaysia.

"Perdana Menteri juga perlu beri penjelasan tentang perkara ini pada sidang Parlimen yang akan datang.

"Menteri Kewangan serta Menteri Komunikasi dan Multimedia pula perlu meneliti satu mekanisme denda atau hukuman lebih berat terhadap pengendali pangkalan data peribadi yang gagal menjamin keselamatan data dalam kendalian mereka serta satu mekanisme pampasan atau ganti rugi bagi semua mangsa jenayah kecurian data peribadi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Fahmi, ini bagi menghantar mesej yang amat jelas bahawa mana-mana pihak yang mengendali data peribadi wajib dipertanggungjawabkan sekiranya keselamatan data tersebut terjejas dan mereka yang menjadi mangsa kecurian data wajib mendapat keadilan.

"Apabila kita sedar bahawa tiga dari empat insiden kecurian data peribadi tahun ini dipercayai melibatkan agensi-agensi kerajaan maka kerajaan mesti meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 termasuk dengan tidak mengecualikan kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dari pemakaian akta ini.

"Pindaan ini juga mesti mengambil kira perkara-perkara utama yang disenaraikan di dalam Kertas Perundingan Awam No. 01/2020 yang diterbitkan pada 14 Februari 2020 dan semua pihak termasuk pembangkang perlu dilibatkan sebelum ia dibentang di Parlimen pada Oktober ini.

"Data peribadi kita adalah aset dan khazanah negara. Ia mesti dilindungi sebaik mungkin," katanya.