Masjid di Perak digesa tubuh koperasi sendiri

Saarani (tengah) menyampaikan insentif kepada wakil Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad sempena Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2023 di sebuah hotel di sini pada malam Selasa.
Saarani (tengah) menyampaikan insentif kepada wakil Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad sempena Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2023 di sebuah hotel di sini pada malam Selasa.
A
A
A

IPOH - Semua masjid di Perak digesa menubuhkan koperasi masing-masing untuk memberi manfaat kepada ahli kariah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan itu pernah dikemukakan ketika menjadi exco yang menjaga koperasi dan sudah sampai masa ia direalisasikan.

Menurutnya, apabila sesebuah koperasi berkembang maju, mereka boleh memperluaskan bidang perniagaan dan mendapat keuntungan untuk memberi dividen kepada ahli.

"Setiap masjid sekurang-kurangnya ada 40 orang lelaki yang boleh solat (Jumaat) sebab syaratnya begitu. Sudah tentu lebih daripada 40 orang dengan pasangan anak satu kariah bukan setakat 40 orang satu kariah beribu-ribu orang.

"Jadi kalau setiap masjid mengambil inisiatif untuk menubuhkan koperasi ahli kariah masing-masing, yuran daripada pungutan itu membolehkan koperasi tersebut membuka perniagaan paling kurang buka kedai runcit dalam kawasan masjid," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2023 di sebuah hotel di sini pada malam Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed.

Saarani berkata, kerajaan memang menggalakkan penubuhan lebih banyak koperasi malah pelbagai kemudahan disediakan termasuk insentif kepada koperasi yang baharu ditubuhkan.

Sementara itu dalam majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan insentif sebanyak RM3,000 kepada 11 koperasi di Perak yang berjaya disenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2022.

11 koperasi tersebut ialah Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad, Koperasi Guru-Guru Sekolah Malaysia Berhad, Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad, Koperasi Perbadanan Perak Berhad, Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Taiping Berhad dan Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad.

Turut tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2022 itu juga ialah Koperasi Nelayan Pantai Remis Berhad, Koperasi Pekebun Kecil Daerah Larut Matang Berhad, Koperasi Warisan Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak Berhad, Koperasi Orang Melayu Kerajaan (SKOMK) Perak Berhad serta Koperasi Kampung Belia Khas Selama Berhad.