Abdul Hadi ada masalah pemikiran: Mat Sabu

Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli baharu Amanah sempena Konvensyen Amanah 2022 di sebuah hotel pada Sabtu.
Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli baharu Amanah sempena Konvensyen Amanah 2022 di sebuah hotel pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menganggap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempunyai masalah pemikiran apabila sewenang-wenangnya melabelkan gabungan itu sebagai kumpulan yang tidak beriman dan tak bermoral.

Menurutnya, tidak pelik jika kenyataan Abdul Hadi akan berubah setiap minggu.

"Tak perlulah kita ulas panjang kerana Presiden Pas itu akan berubah setiap minggu. Minggu depan kita tidak tahu pula pandangan dia.

"Saya rasa dia hadapi masalah dalaman pemikiran. Saya tak mahu mengulas panjang soal dia, tapi saya bersimpati dengannya," katanya ketika sidang akhbar selepas hadir merasmikan Konvensyen Amanah 2022 di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Mohamad turut bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Pas adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO.

Ini kerana jelasnya, Pas selama ini yang melabelkan UMNO kafir dan sekarang beria-ria mahu bekerjasama dengan UMNO.

Sementara itu, Khalid Abdul Samad pula berkata, Pas tiada modal lain untuk diperkatakan selain daripada menjual agama.

"Dia nak tunjuk prestasi baik dalam pentadbiran pun, apa yang dia ada.

Artikel Berkaitan:

"Di negeri yang ditadbir oleh Pas iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah pelbagai masalah dihadapi rakyat, begitu juga dengan kementerian yang dia pegang tiada prestasi baik ditunjukkan, jadi apa modal yang dia ada," katanya.

Malah beliau juga menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai terdesak.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Hadi berkata, ramai dalam kalangan Pakatan Harapan(PH) yang tidak beriman dan tidak bermoral yang mana secara terbuka mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.