KPT digesa tangani kes HIV dalam kalangan pelajar IPT

Daroyah Alwi
Daroyah Alwi
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa agar segera menangani kes HIV dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang berpunca daripada hubungan sesama jenis.

Ketua Wanita Parti Bangsa Malaysia (PBM), Dr Daroyah Alwi berkata, KPT harus menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji trend songsang ini dengan lebih terperinci dan mengetahui sebab pelajar terlibat dalam seks gay serta kesedaran mereka tentang penggunaan kontraseptif.

“Seks songsang bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang Malaysia, malah ia boleh menjejaskan kesihatan mereka akibat dijangkiti virus HIV yang boleh membawa kesan meluas.

“Ramai pelajar pengajian tinggi menjadi harapan negara ini tetapi jika mereka terjejas dengan penyakit kelamin (STD), ia juga akan menjejaskan negara kerana kita telah melabur banyak untuk masa depan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong sebelum ini mendedahkan kebanyakan pesakit yang dijangkiti HIV disebabkan amalan seks songsang (gay) adalah dalam kalangan pelajar IPT.

Kata Dr Sakinah, ia amat membimbangkan kerana dalam 100 pesakit HIV, majoritinya anak muda yang mendapat jangkitan virus itu daripada hubungan seks sesama jenis.

Tambah Daroyah, sebagai langkah sementara, KPT harus mengarahkan pentadbir universiti untuk mempertingkatkan program pelajar di kampus masing-masing bagi membendung trend ini.

Menurutnya, terdapat kemungkinan bahawa sesetengah pelajar universiti hanya memerlukan nasihat atau bantuan untuk mengelakkan mereka daripada putus asa dan seterusnya terjebak ke dalam gaya hidup berisiko.

Artikel Berkaitan:

“PBM berpandangan bahawa trend ini perlu dihentikan segera. Sekiranya tiada apa yang dilakukan untuk membendung arus gaya hidup yang bertentangan dengan nilai tempatan kita, ia akan mendapat penerimaan masyarakat yang lebih meluas terutamanya dalam kalangan pelajar universiti.

“Ini bukan sahaja akan mengakibatkan kos kesihatan yang tinggi kepada negara ini, tetapi ia juga akan menjejaskan asas sosial kita,” tegasnya.