Penolong akauntan didakwa pecah amanah lebih RM416,000

KANGAR - Seorang penjawat awam berjawatan penolong akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah berjumlah RM416,503.91 antara 2020 hingga 2024.
Pengakuan Rohaliza Roais, 37, direkodkan di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.
Wanita itu didakwa sebagai pengurus akaun sebuah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Perlis secara tidak jujur menggunakan wang terimaan milik PPK berjumlah RM116,299.61 pada 2020 dengan melanggar prosedur sistem merekod penerimaan tunai.
Dia berhadapan empat lagi pertuduhan membabitkan nilai RM83,207.60 pada 2021, RM86,890.20 (2022), RM87,369.75 (2023) dan RM42,736.75 (2024) dengan semua kesalahan didakwa dilakukan di PPK itu di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis setiap bulan selain perlu menyerahkan pasport dan pas sempadan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Mac untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid dan Pegawai Pendakwa S. Sujatha daripada SPRM manakala wanita itu diwakili Peguam Datuk Ghazali Cha. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang penjawat awam berjawatan penolong akauntan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan pecah amanah berjumlah RM416,503.91
- Pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Nu'man Mahmud Zuhudi
- Didakwa menggunakan wang terimaan milik Pertubuhan Peladang Kawasan secara tidak jujur antara 2020 hingga 2024
- Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun
- Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dan syarat melaporkan diri di SPRM Perlis setiap bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
