Sikap cakna rakyat Malaysia selamatkan mangsa dera

Laporan sinar harian.
Laporan sinar harian.
A
A
A

KETIKA negara menyambut Hari Malaysia 2022, kita dikejutkan dengan kes seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa dera yang cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat empat sebuah kondominium di Ampang pada Jumaat.

Sikap cakna rakyat Malaysia yang bertindak pantas telah menyelamatkan kanak-kanak itu daripada ditimpa musibah lebih buruk.

Kanak-kanak tersebut disyaki didera setelah ditemui dengan kesan berbirat pada tubuh badannya sebelum kes itu diserahkan kepada pihak berkuasa.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, kanak-kanak itu dilihat berdiri di belebas tingkap oleh orang awam yang menghubungi talian kecemasan pada jam 4.41 petang.

"Seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia lapan tahun dipercayai dikurung di dalam bilik cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat empat (kondominium).

"Kejadian disedari orang awam yang telah memecahkan pintu rumah terbabit dengan bantuan pengawal keselamatan," katanya seperti dilaporkan pada Jumaat.

Peristiwa berkenaan membuktikan pentingnya sikap kebersamaan dan saling ambil berat dalam masyarakat.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor mahu proses membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu terus dipertahan demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara bangsa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, cabaran dan ancaman dihadapi semakin besar serta bertambah kompleks dengan musuh yang cuba memecah-belah hadir dalam bentuk ekonomi, politik dan sosial termasuk anasir luar ketika usia negara semakin bertambah.

Ujar beliau, jika anasir itu dibiarkan berleluasa dan akhirnya memuncak, dibimbangi ia akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan Keluarga Malaysia.

Dalam perkembangan lain, turut dilaporkan bahawa pembayaran fasa tiga dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke akaun penerima mulai Selasa ini secara berperingkat dan dijangka selesai pada 27 September.

Pembayaran berjumlah RM2.2 bilion itu bakal dimanfaatkan oleh 8.7 juta penerima sedia ada.

Beralih ke perkembangan politik, Gerakan Tanah Air (GTK) dilapor akan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, GTA juga tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang terlibat rasuah ataupun mendirikan kerajaan melalui pintu belakang.

“Kita berasingan. Kita telah ada satu gerakan dinamakan Gerakan Tanah Air yang mencantumkan parti politik Melayu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan daripada ahli akademik dan profesional yang cinta kepada negara.

“...dan mereka ingin berjuang dalam politik untuk kembalikan negara kepada dahulunya yang dikenali sebagai Asian Tiger yang bersih, cekap dan amanah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, ditangguhkan ke 30 September nanti.

Penangguhan itu berikutan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti terlibat dengan Majlis Perasmian Sukan Malaysia (Sukma) di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi pada malam berkenaan.