Suami isteri diberkas dipercayai dera dua anak saudara

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Pasangan suami isteri warga tempatan diberkas dipercayai terlibat dalam kes penderaan dua kanak-kanak di sebuah kondominium di Taman Cahaya di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 4.40 petang berikutan kejadian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai cuba untuk terjun daripada tingkat empat kondominium terbabit.

"Polis kemudian telah memecah masuk ke dalam unit kondominium terbabit dengan bantuan pihak bomba dan menyelamatkan mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada di dalam rumah seorang diri.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa mempunyai kesan lebam di bahagian belakang badan, kaki dan tangan dipercayai akibat didera," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, seorang kanak-kanak lelaki bertindak nekad melarikan diri melalui tingkap di tingkat empat sebuah kondominium di sini selepas dipercayai didera dan dikurung pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kanak-kanak itu dilihat berdiri di belebas tingkap oleh orang awam yang menghubungi talian kecemasan pada jam 4.41 petang.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan berdasarkan kejadian kemudian membawa kepada penangkapan pasangan suami isteri yang merupakan ibu dan bapa saudara kepada mangsa kira-kira jam 6 petang.

"Suspek wanita yang merupakan adik kepada ibu kandung mangsa berumur 33 manakala suaminya berumur 29 tahun.

"Suspek wanita tidak bekerja manakala suspek lelaki bekerja sebagai pemandu e-hailing dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, " jelas beliau.

Menurutnya, tangkapan yang dijalankan turut membawa kepada penemuan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai adik mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kanak-kanak perempuan berumur enam tahun ini turut mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan juga dipercayai akibat penderaan.

"Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah dimaklumkan untuk tindakan penjagaan mangsa," katanya.

Mohamad Farouk berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa tinggal dengan suspek sejak dua tahun lalu selepas bapa kandung mereka meninggal dunia.

"Kes disiasat di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," jelasnya.