Ramai kanak-kanak cuba vape bapa, abang di rumah - CAP

Ramai kanak-kanak yang berusia lingkungan sembilan hingga 12 tahun didapati mencuba vape dan e-rokok milik bapa atau abang mereka di rumah atau di dalam kereta. - Gambar hiasan
Ramai kanak-kanak yang berusia lingkungan sembilan hingga 12 tahun didapati mencuba vape dan e-rokok milik bapa atau abang mereka di rumah atau di dalam kereta. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Ramai kanak-kanak yang berusia lingkungan sembilan hingga 12 tahun didapati mencuba vape dan e-rokok milik bapa atau abang mereka di rumah atau di dalam kereta.

'Vaping' atau menghisap vape adalah tindakan menyedut wap yang dihasilkan oleh e-rokok atau 'vaporizer'.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, perkara itu diakui sendiri oleh sebilangan kanak-kanak tersebut ketika program kesedaran merokok, vape dan penggunaan e-rokok yang dijalankan CAP di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang.

Menurutnya, perkara tersebut amat mengejutkan kerana 200 daripada 300 kanak-kanak ditemui dalam program berkenaan mengakui menghisap vape sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

"Ketika program kesedaran tanpa nikotin yang dijalankan baru-baru ini, kanak-kanak yang ditemui mengakui mereka mencuba vape dan e-rokok kepunyaan bapa atau abang di rumah dan juga di dalam kereta.

"Mereka ini bukan perokok tegar sebaliknya mengaku bahawa ia hanya cuba-cuba sahaja. Lebih mengecewakan, kanak-kanak ini mendedahkan bahawa ada saudara atau adik beradik lelaki mereka yang mencadangkan supaya mencuba vape.

"Walaupun mereka menolak, mereka seolah-olah diminta untuk mencuba dan akhirnya tewas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Subbarow menambah, soal selidik oleh CAP mendapati, bapa dan abang kepada kanak-kanak berkenaan kerap menggunakan produk terbabit di rumah atau semasa memandu.

"Kanak-kanak dan pelajar yang ditemui mengakui mereka tahu bahayanya vape tetapi masih ingin mencubanya. Ini kerana, bapa atau abang dengan santai memberi gajet vape kepada mereka yang duduk di tempat duduk penumpang serta di rumah.

"Apabila menawarkan vape, mereka selalu mengatakan ia hanyalah jus buah dan tidak perlu risau sedangkan kandungan sebenar adalah nikotin. Mereka berani mencuba di rumah ketika ketiadaan ibu bapa kerana percaya bahawa ia diperbuat daripada buah-buahan atau gula-gula," katanya.

Kata beliau, kanak-kanak yang telah mencuba kini mula ketagih untuk menghisap vape.

"Sebelum ini, kanak-kanak ini tidak pernah menyentuh rokok tetapi kini mula menghisap vape. Hasil soal selidik yang dibuat, daripada empat kanak-kanak, seorang daripadanya adalah perempuan dan telah ketagih.

"Sementara soal selidik di sekolah menengah pula, enam pelajar telah mula menghisap vape, dua daripadanya adalah pelajar perempuan. Perkara ini amat membimbangkan sekiranya tidak dibendung dari sekarang," katanya.

Oleh itu, beliau menggesa pentadbiran sekolah membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti CAP bertemu dengan pelajar bagi memberi kesedaran mengenai bahaya merokok, vape, e-rokok dan jus yang mengandungi nikotin.

"Perkara ini perlu diberi perhatian, kita bimbang jika tiada tindakan segera diambil, lebih ramai kanak-kanak seawal lapan tahun dan pelajar sekolah menengah akan mengalami ketagihan vape.

"Batang berwarna-warni yang berperisa manis menarik minat kanak-kanak malah kartrij vape mempunyai nama dan perisa yang menjadikannya bunyi seperti gula-gula, seperti coklat pudina, mangga dan titisan limau beku," katanya.

Menurut beliau, menerusi laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 16,000 jenis perisa vape di pasaran yang mengandungi bahan kimia yang menjejaskan kesihatan.

"Nikotin bertindak secara langsung pada otak dan mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan bahawa penggunaan e-rokok adalah tidak selamat untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa muda.

"Pakar pediatrik menyatakan nikotin mungkin lebih berbahaya kepada remaja berbanding orang dewasa. Nikotin boleh membahayakan otak yang sedang berkembang. Bukan sahaja remaja lebih terdedah kepada ketagihan, malah vape boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk menumpukan perhatian, belajar dan bersenam," katanya.

Tegas beliau, WHO tidak mengesyorkan vape dan menekankan bahawa vape adalah pintu masuk bagi remaja dan dewasa muda untuk mula menggunakan bahan ketagihan lain.

Oleh itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang memberi jus berasaskan nikotin kepada kanak-kanak.