Misi jelajah Abd Al-Fattah jelas situasi sebenar Baitulmaqdis

Kumpulan pensyarah dan pelajar yang menyertai kem intensif Program TOT bersama Prof Dr Abd Al-Fattah di Kem Bumi Jati, Shah Alam.
Kumpulan pensyarah dan pelajar yang menyertai kem intensif Program TOT bersama Prof Dr Abd Al-Fattah di Kem Bumi Jati, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Misi Prof Dr Abd Al-Fattah El-Awaisi menjelajah ke negara ini selama dua bulan bagi menyebar luas kefahaman kepada orang ramai mengenai situasi sebenar Baitulmaqdis terus diperhebat.

Ketua Biro Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan berkata, kehadiran pakar strategik politik mengenai Baitulmaqdis itu di Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberi kefahaman jelas kepada orang ramai.

Katanya, setelah berjaya menjelajah ke seluruh negara kecuali Sarawak untuk bertemu dengan kumpulan cendekiawan Islam di Malaysia, Abd Al-Fattah yang berasal dari Palestin meluaskan gerak kerja menerusi penganjuran program ilmiah bersama kumpulan penggerak daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.

Menurutnya, menerusi Program 'Training To Trainers' (TOT) yang dianjurkan selama seminggu bermula Isnin lalu, sesi perbincangan dan percambahan idea dilakukan bersama bagi mencari solusi terbaik membantu umat Islam di Baitulmaqdis.

Jelasnya, selain sesi mencari jalan penyelesaian buat umat Islam di negara bergolak tersebut, aktiviti pemantapan sahsiah diri kumpulan peserta turut dijalankan sepanjang program kem intensif selama tujuh hari itu.

"Usaha memberi penjelasan terbaik berhubung Baitulmaqdis kepada masyarakat di negara ini terus diperluas dan diperhebatkan menerusi penganjuran kem intensif TOT oleh Prof Dr Abd Al-Fattah.

"Program perkongsian ilmu selama seminggu ini merupakan proses pemantapan kefahaman orang ramai terutama umat Islam di negara ini yang sangat mengambil berat terhadap tanggungjawab dan kemaslahan saudara seislam di bumi bertuah tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Syed Muhammad Haleem berkata, beberapa NGO terlibat dalam Program TOT antaranya Haluan, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Serantau Muslim dan Maahad Tahfiz Al Aqsa (MTA).

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kem intensif tersebut turut mendapat penyertaan pensyarah dan pelajar daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Al Azhar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Teknologi Darul Naim (KTD), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNISHAMS).

Tambahnya, kumpulan peserta yang hadir adalah dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

"Menyedari kepentingan menyebar luas kefahaman tentang Baitulmaqdis kepada orang ramai dan usaha membebaskan penduduk Palestin daripada cengkaman kezaliman Zionis Israel, beberapa program telah dirancang selepas ini.

"Prof Dr Abd Al-Fattah akan pergi ke beberapa buah negeri seperti Sabah, Terengganu dan Johor selepas tamat kem intensif Program TOT.

"Program terakhir sebelum Prof Dr Abd Al-Fattah pulang ke United Kingdom adalah menyertai satu seminar di Universiti Malaya pada 1 Oktober ini," katanya.