Tiada bukti Ratu Elizabeth II keturunan Nabi Muhammad

Ratu Elizabeth II - Foto fail EPA
Ratu Elizabeth II - Foto fail EPA
A
A
A

LONDON - Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa mendiang Ratu Elizabeth II ialah keturunan Nabi Muhammad SAW atau daripada keturunan Bani Hashim di Semenanjung Arab, kata penerbit salasilah golongan bangsawan British kepada Middle East Eye baru-baru ini.

Kenyataan itu bertentangan dengan laporan dan siaran media sosial yang membuat dakwaan sedemikian selepas kemangkatan baginda pada 8 September lalu di Istana Balmoral, Scotland.

Sebelum ini, teori itu mendakwa bahawa keturunan bekas pemerintah Britain tersebut mempunyai salasilah keluarga Nabi Muhammad SAW melalui seorang puteri Islam pada abad ke-11, Zaida dari Seville iaitu seorang tokoh misteri yang tinggal di Al-Andalus, Semenanjung Iberia.

Dakwaan yang menyatakan Ratu Elizabeth II berketurunan Nabi Muhammad SAW telah dikongsi oleh media British sejak tahun 2018 dan muncul semula selepas kemangkatannya.

Bagaimanapun, Burke's Peerage iaitu pihak penerbit keturunan golongan bangsawan British dan Ireland sejak tahun 1847 sehingga kini menyatakan ia tidak mempunyai maklumat salasilah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW itu.

Laporan akhbar sebelum ini memetik Burke's Peerage sebagai sumber salasilah keluarga diraja yang mengaitkan Ratu Elizabeth II dengan Nabi Muhammad SAW.

Ia berlaku selepas seorang ahli sejarah menulis artikel untuk saluran berita Maghribi yang mengesahkan dakwaan bahawa bekas pemerintah Britain itu berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, Burke's Peerage memberitahu Middle East Eye dalam e-mel bahawa dia tidak mempunyai maklumat genealogi yang berkaitan dengan isu tersebut dan menyatakan pihaknya bukan sumber asal salasilah berkenaan walaupun perkara tersebut berulang kali disampaikan secara salah selama bertahun-tahun.

Artikel Berkaitan:

Penerbit menyatakan bahawa Moncreiffe iaitu seorang pegawai British dan ahli salasilah, menjadi sumber dakwaan salasilah tersebut.

Ia turut menyatakan adalah menarik jika terdapat ahli sejarah dan para penyelidik dapat menyiasat perkara itu dengan betul.

Puteri Zaida yang tinggal di bandar Seville didakwa sebagai tokoh penting yang mengaitkan keluarga Ratu Elizabeth II dengan Nabi Muhammad SAW.

Beliau digambarkan sebagai seorang pelarian Islam yang melarikan diri dari Seville sebelum memeluk agama Kristian dan dikenali sebagai Isabella serta dianggap oleh sesetengah pihak sebagai anak perempuan pemerintah Seville, Al-Mutamid Ibn Abbad yang didakwa keturunan Bani Hashim.

Salah seorang anak Puteri Zaida berkahwin dengan Richard dari Conisbrough, Earl Cambridge ketiga pada abad ke-14 dan dikatakan sebagai nenek moyang kepada Ratu Elizabeth II. - Agensi