PRN: Tidak ada logo DAP, UMNO kata Ahmad Maslan

Ahmad bercakap kepada media dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kompleks Kementerian Kewangan, dekat sini pada Jumaat.
Ahmad bercakap kepada media dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kompleks Kementerian Kewangan, dekat sini pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan tiada logo DAP mahupun UMNO dipaparkan pada kertas undi dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya kata Ahmad, PRN menyaksikan pertandingan tiga kumpulan parti terbesar iaitu BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

"Saya ingin beri kefahaman bahawa tidak ada logo DAP dan UMNO pada kertas undi kerana kita bertanding itu dalam kumpulan," katanya menerusi sidang akhbar sempena majlis pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kompleks Kementerian Kewangan, dekat sini pada Jumaat.

Ujar beliau, kenyataan yang disebutnya sebelum ini telah diputar-belit sehingga menimbulkan polemik luar biasa.

"Saya pelik kenapa kenyataan saya diputar-belit sedemikian rupa sehingga sehingga saya dikafirkan," katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, sebagai parti di bawah pasukan Kerajaan Perpaduan, sikap tolong-menolong amat diperlukan bagi menghadapi PRN di enam negeri.

"Setakat ini yang diputuskan adalah lawan kita logo PN," tambah beliau.

Jumaat minggu lalu, Ahmad menggesa pengundi di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang agar memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Ia mendorong Isham Jalil yang juga MKT UMNO memberi amaran bahawa desakan agar mengundi DAP itu akan menghakis sokongan rakyat.

Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad mengakui faktor kemenangan 74 kerusi yang diperoleh PN pada PRU15 lalu adalah disebabkan penggunaan teknologi dan digital.

"Mereka juara di TikTok," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada UMNO mahupun parti-parti Kerajaan Perpaduan menggunakan pendekatan sama pada PRN kelak.

"Rahsia" katanya lagi.