Yayasan Peneraju komited perkukuhkan keupayaan bumiputera

A
A
A

Bersama penerima faedah program Peneraju Skil Iltizam Pipe Gas Insulation.
Bersama penerima faedah program Peneraju Skil Iltizam Pipe Gas Insulation.



Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) akan mengukuhkan keupayaan bumiputera secara sejagat dan berterusan selaras dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Muzzammil Ismail berkata, pihaknya merancang untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti bumiputera berkemahiran tinggi dengan merangka pelbagai program berimpak tinggi.

Justeru katanya, mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti serta keberkesanan bumiputera diteruskan supaya mereka mampu menempatkan diri dalam industri dan pasaran kerja berpendapatan tinggi.

“Ini termasuklah mewujudkan bumiputera berdaya saing, berkebolehpasaran dan mampu mendepani cabaran landskap ekonomi yang semakin kompetitif serta berjaya ke peringkat global.

“Ia selaras dengan dasar utama negara iaitu RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12) untuk terus memperkasa agenda bumiputera dan menjana semula ekonomi negara bagi mencapai pertumbuhan yang mampan,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Jelasnya, pada 2022 Yayasan Peneraju menyasarkan untuk melahirkan seramai 8,400 penerima faedah ‘future proof’ baharu melalui 180 program pembangunan dalam kesemua lima teras utamanya.

Sesi beramah mesra antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid (duduk, tengah) bersama penerima faedah Peneraju IMPAK.
Sesi beramah mesra antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid (duduk, tengah) bersama penerima faedah Peneraju IMPAK.



“Kami akan memfokuskan industri automotif, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kejuruteraan, kewangan, maritim, minyak dan gas, pendidikan, penjagaan kesihatan, perakaunan serta telekomunikasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, berdasarkan laporan The Future of Jobs Report 2020 oleh World Economic Forum, ‘future proof jobs’ akan bertumpu ke arah penggunaan teknologi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, penggunaan teknologi akan bertambah pesat melalui pengkomputeran awan, data besar, e-dagang dan automasi serta menjadi keutamaan tinggi dalam dunia pekerjaan kerana menjelang 2025, sebahagian besar tenaga kerja akan menuju ke arah pendigitalan termasuklah ‘working remotely’.

“Kami sentiasa memastikan penerima faedah ‘future ready’ dan ‘future proof’ dilengkapkan dengan kemahiran insaniah, sahsiah, kepimpinan, serta ilmu teknikal agar mereka lebih ‘employable’ dan ‘marketable’.

“Jurang kemahiran akan terus meningkat tinggi dan tenaga kerja sedia ada perlu ‘re-skill’ dan ‘upskill’,” katanya.

DR MUZZAMMIL
DR MUZZAMMIL



Menurut Dr Muzzammil, Yayasan Peneraju berjaya merealisasikan aspirasi lebih 50,000 individu daripada pelbagai kumpulan bumiputera di seluruh Malaysia menerusi lebih 370 program pembiayaan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis sejak 10 tahun penubuhannya.

Kumpulan sasaran penerima faedah termasuk golongan lepasan sekolah hingga golongan bekerja dan tidak bekerja, kumpulan B40, M40, luar bandar dan kumpulan terpinggir.

Beliau berkata, penerima faedah Yayasan Peneraju sama ada yang masih menuntut atau bekas penuntut telah mengharumkan nama negara di persada dunia dengan pengiktirafan global dari segi pembelajaran mahupun sumbangan.

Peneraju IMPAK

Bermula pada 2022, Yayasan Peneraju memperkenalkan Projek Khas iaitu Peneraju IMPAK untuk kumpulan sasaran baharu seperti bekas pesalah juvana, pelajar huff az dan orang kurang upaya (OKU).

“Objektif Projek Khas ini adalah untuk memperkasa dan memberi peluang setara yang membolehkan mereka berdaya saing dalam bidang yang diceburi.

“Elemen sokongan perlu disediakan agar mereka dapat melangkah dan merapatkan jurang dalam kalangan masyarakat dari segi kesejahteraan sosioekonomi.

“Yayasan Peneraju berharap lebih ramai modal insan bumiputera khususnya golongan OKU akan turut serta dan menjadi sebahagian daripada penerima faedah Yayasan Peneraju,” kata Dr Muzzammil.

Penerima faedah Peneraju Tunas BRIDGE Karisma IPGM STEM Challenge bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Penerima faedah Peneraju Tunas BRIDGE Karisma IPGM STEM Challenge bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.



Selain itu katanya, Yayasan Peneraju turut memperkenalkan tiga program utama untuk golongan OKU iaitu Peneraju Juang Skil Kerjaya dan Peneraju Juang Skil-trepreneur (Keusahawanan) yang berkolaborasi dengan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Peneraju Juang Skil Perantisan dengan kerjasama MyHarapan.

Selain itu, program khas Peneraju Profesional Perakaunan Training Initiative with Industry (PERTIwI) bertujuan memberi peluang kepada penerima faedah sedia ada dari segi pendedahan dan pengalaman bekerja di luar negara.

Program Peneraju Spesialis pula menyasarkan pegawai atau pelatih perubatan sama ada berjawatan tetap atau kontrak yang belum mendapat tajaan daripada Kerajaan Persekutuan atau badan penaja lain untuk menjadi pakar perubatan melalui kerjasama bersama Kementerian Kesihatan dalam program 'Parallel Pathway'.

Sementara di bawah program High Impact Programme (HIP) pula, Yayasan Peneraju menawarkan kursus jangka pendek termasuk kebolehpasaran pekerjaan dan AI Data Labeling.

Ujarnya, penempatan pekerjaan menjadi keutamaan Yayasan Peneraju dengan pendekatan ‘Place and Train' dan 'Train and Place" untuk memastikan mereka memperoleh pekerjaan semasa mahupun setelah tamat program.

“Yayasan Peneraju bekerjasama rapat dengan pemain industri, rakan-rakan program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan program yang ditawarkan berkualiti, relevan dan meningkatkan kadar kebolehpasaran penerima faedahnya,” katanya.

Tambahnya, sempena Hari Malaysia ini, Yayasan Peneraju berharap lebih ramai bumiputera menjadi sebahagian daripada lebih 50,000 penerima faedah Yayasan Peneraju.

“Seiring dengan tema Hari Malaysia ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, kami sedia menerima sumbangan idea dan pandangan mana-mana pihak untuk berkolaborasi agar kualiti program dapat dipertingkatkan dari tahun ke tahun.

“Agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan lain perlu berganding bahu untuk memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan untuk generasi akan datang,” katanya.

No Image Caption



Berkenaan Yayasan Peneraju:

—- Berperanan untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan bumiputera secara sejagat dan berterusan selaras dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

—

- Ditubuhkan untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat-bakat bumiputera sejajar dengan usaha menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

- Menyediakan program pembiayaan pendidikan akademik (Peneraju Tunas), pensijilan TVET (Peneraju Skil), profesional (Peneraju Profesional), teknologi (Peneraju Teknologi) dan spesialis (Peneraju Spesialis).