Peta Hala Tuju F:30 lebih realistik

Di bawah Peta Hala Tuju F:30, FAM mahu menjadikan Malaysia sebagai lima gergasi Asia menjelang tahun 2030.
Di bawah Peta Hala Tuju F:30, FAM mahu menjadikan Malaysia sebagai lima gergasi Asia menjelang tahun 2030.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui terdapat beberapa elemen yang gagal dicapai selepas berakhirnya fasa pertama Peta Hala Tuju (Roadmap) F:30.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, satu pelarasan sedang dirangka badan induk bola sepak itu untuk memastikan peta hala tuju itu lebih realistik dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Kalau kita lihat dalam F:30 itu ada tiga fasa. Fasa satu (antara tahun) 2019 hingga 2022 disusuli fasa kedua iaitu 2023-2026 dan ketiga 2027-2030.

“F30 ini adalah satu visi untuk kita buat apabila saya memimpin FAM. Sekarang kita dah habis satu fasa. Di sini ada beberapa kejayaan dan ada beberapa yang tidak capai.

“Saya tahu memang ada satu (atau) dua (sasaran) tidak tercapai seperti kegagalan skuad B-23 pada Sukan SEA dan kita tewas pada Piala Asia B-23 di Uzbekistan,” katanya pada program Townhall Bersama Presiden FAM di Terengganu baru-baru ini.

Untuk rekod, F:30 telah dilancarkan pada 31 Oktober 2018 yang dirasmikan secara bersama oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Hamidin.

Hamidin - Foto Bernama
Hamidin - Foto Bernama

Di bawah Peta Hala Tuju F:30, FAM mahu menjadikan bola sepak Malaysia sebagai lima gergasi Asia menjelang tahun 2030.

Peta hala tuju dengan tempoh 12 tahun itu dibahagi kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Fasa kedua pula mencapai peringkat Asia dan fasa ketiga bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencapai taraf dunia.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, FAM tidak ‘tutup mata’ dengan kegagalan tersebut, sebaliknya sedang berada pada tahap akhir untuk melihat pelarasan yang boleh dilakukan terhadap F:30.

“Kita akan umumkan tentang pelarasan tersebut. Pasukan saya sudah berada di peringkat akhir untuk pelarasan tersebut.

“Kita sedang melihat perancangan yang lebih realistik dalam empat tahun akan datang,” ujarnya.