'Kalau tak mahu doa, jangan kecam kami'

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kejadian mangsa diculik di rumahnya di Kampung Semat Jal, Palekbang, Tumpat pada Selasa.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kejadian mangsa diculik di rumahnya di Kampung Semat Jal, Palekbang, Tumpat pada Selasa.
A
A
A

TUMPAT - "Kalau tak mahu doa, janganlah kecam keluarga kami." Itu luahan hati salah seorang kakak kepada peniaga kosmetik yang diculik dalam kejadian di rumahnya di Kampung Semat Jal, Palekbang pada Selasa.

Kakak mangsa yang enggan dikenali ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kecaman yang dilemparkan pengguna laman sosial Facebook dan aplikasi TikTok ketika ini dilihat lebih kepada unsur fitnah sehingga menyebabkan keluarganya mengalami tekanan.

"Kalau boleh warganet tolong hentikan segala tohmahan yang tidak berasas itu. Kita sebagai orang Islam janganlah memberikan komen sehingga mengundang fitnah," katanya.

Dia berkata, seluruh ahli keluarga tidak mengetahui punca sebenar kejadian yang melibatkan anak ke enam daripada 11 beradik itu berlaku.

Katanya, buat masa ini seluruh ahli keluarganya hanya mampu mengadakan solat hajat dan berdoa semoga Rosnazirah Mohd Naim, 36, selamat kembali ke pangkuan keluarga.

"Anak lelaki mangsa yang berusia 13 tahun paling terkesan dengan kejadian ini.

"Kalau tak mahu doakan, baik senyap sahaja kerana apa yang ditulis di laman sosial itu boleh menimbulkan fitnah," jelasnya.

Mengulas mengenai isu membabitkan adik iparnya itu, kakak mangsa berkata, keluarganya menyerahkan perkara terbabit kepada polis untuk menjalankan siasatan.