[VIDEO] Kes culik peniaga kosmetik libat sindiket dadah

Muhamad Zaki (dua dari kiri) semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu pada Khamis.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga kosmetik yang diculik oleh empat lelaki di rumahnya di Kampung Semat Jal, Palekbang, Tumpat pada Selasa dipercayai melibatkan sindiket dadah.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suami mangsa yang berusia 36 tahun dan bekerja sebagai nelayan telah ditahan bersama dua individu lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat pada Rabu.

"Suami mangsa bersama seorang suspek lelaki dan wanita berusia antara 35 hingga 47 tahun direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

"Mengikut siasatan suami mangsa mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah penyeludupan manakala seorang lagi suspek lelaki, tujuh rekod lampau.

"Kami dapati mangsa mengetahui tentang kegiatan suaminya itu yang terlibat dalam sindiket dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kejadian culik itu dipercayai berlaku kerana perselisihan faham dalam kalangan ahli sindiket terbabit.

Menurutnya, operasi khas telah digerakkan bagi mengesan wanita yang berusia 36 tahun itu yang dikatakan dibawa ke negara jiran.

Muhamad Zaki berkata, polis Kelantan telah menghubungi pihak berkuasa negara jiran dan mengadakan kerjasama bagi membawa balik mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek yang menculiknya.

"Setakat ini keluarga mangsa memaklumkan mereka tidak menerima sebarang panggilan yang meminta wang tebusan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 36 tahun dipercayai diculik dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Palekbang, Tumpat pada Selasa.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, Rosnazirah Mohd Naim didakwa dilarikan oleh empat lelaki dengan menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna Perak.

Suspek didakwa mempunyai senjata semasa melarikan wanita berkenaan.