Alih jajaran paip elak gangguan bekalan air lebih lama

Saiful Zaini meninjau kerja-kerja pemasangan paip baharu yang dialihkan bagi mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan paip bekalan air mentah utama pecah di MGCC di sini.
Saiful Zaini meninjau kerja-kerja pemasangan paip baharu yang dialihkan bagi mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan paip bekalan air mentah utama pecah di MGCC di sini.
A
A
A

KUANTAN - Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) mengambil langkah mengalihkan jajaran paip (pintasan) bagi mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan paip bekalan air mentah utama pecah di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di sini, minggu lalu.

Langkah pengalihan jajaran paip sepanjang kira-kira 130 meter itu diambil kerana lebih efektif berbanding membaiki kebocoran pada paip sedia ada yang mungkin berada pada kedalaman lebih 10 meter dan belum dikenal pasti kedudukan sebenar setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, langkah pengalihan jajaran paip itu dilakukan bagi mengelak penutupan bekalan air kepada pengguna lebih lama.

Menurutnya, langkah itu bagaimanapun terpaksa menelan kos lebih tinggi berbanding membaiki kebocoran pada paip sedia ada.

"Kerja-kerja pemasangan 13 batang paip berukuran 1.5 meter itu telah dimulakan sejak Isnin lalu dan sebahagian besarnya telah siap dipasang.

"Selepas kerja-kerja pemasangan paip itu siap, Paip akan menetapkan tarikh sesuai untuk menutup sementara bekalan air bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyambungan," katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja-kerja pemasangan paip di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di sini ada Khamis.

Saiful Zaini (kiri) meninjau kerja-kerja pemasangan paip baharu yang dialihkan bagi mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan paip bekalan air mentah utama pecah di MGCC di sini.
Saiful Zaini (kiri) meninjau kerja-kerja pemasangan paip baharu yang dialihkan bagi mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan paip bekalan air mentah utama pecah di MGCC di sini.

Saiful Zaini berkata, tempoh penutupan bekalan air dijangka mengambil masa 48 jam.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan cuba percepatkan proses penyambungan supaya bekalan air dapat disambung kepada pengguna kurang dari tempoh itu," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh penutupan bekalan, pihaknya akan menghantar bekalan air ke kawasan terjejas menggunakan lori tangki dan tangki statik.

"Kita akan sediakan lori tangki dan tangki statik sebanyak mungkin berdasarkan keperluan kira-kira 35,000 akaun pengguna yang terjejas.

"Tangki statik akan dihantar dan ditempatkan di lokasi dikenal pasti lebih awal selepas notis gangguan bekalan air dikeluarkan.

"Kita juga akan keluarkan notis pemberitahuan tiga atau empat hari lebih awal untuk makluman pengguna," katanya.

Beliau berkata, bekalan air kepada pengguna segera disalurkan selepas kerja-kerja penyambungan paip siap sepenuhnya.

Minggu lalu sebahagian kawasan di Kuantan mengalami gangguan bekalan air selama tiga hari akibat kebocoran pada paip utama berusia lebih 40 tahun di kawasan MGCC.