Skim Bekalan Air Rasau ke arah pengurusan air lestari

Amirudin (tengah) merasmikan Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting pada Selasa.
Amirudin (tengah) merasmikan Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Skim Bekalan Air Rasau merupakan satu inisiatif tambahan kerajaan negeri Selangor dalam memastikan kelestarian bekalan air di negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia turut membabitkan kawasan Lembah Klang dengan meliputi sembilan juta rakyat secara keseluruhannya.

Menurutnya, projek berkenaan merupakan antara projek di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) diluluskan sebulat suara dalam Dewan Negeri Selangor pada 2 Ogos 2022.

"Apabila siap nanti, Skim Bekalan Air Rasau mampu menyalurkan tambahan sebanyak 1,400 juta liter air (JLH) sehari. 700 juta liter sehari apabila fasa 1 dijangka siap pada 2025 dan 700 juta liter sehari seusai fasa 2 siap pada 2030," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting di sini pada Selasa.

Amirudin turut menyifatkan perasmian skim itu sebagai berita baik bagi warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, susulan daripada Skim Jaminan Air Mentah dilancarkan 18 Mei lalu untuk meningkatkan keterjaminan bekalan air.

Beliau menambah, Loji Rawatan Air Sungai Rasau juga dilengkapi dengan proses pengozonan bagi menjamin mutu kualiti air sentiasa mematuhi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui Air Selangor memperuntukkan RM3.42 bilion bagi membangunkan Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan sistem agihan fasa satu, manakala fasa dua melibatkan kos sebanyak RM2.12 bilion merangkumi pembinaan, perundingan, penyeliaan dan pengambilan balik tanah.

Pada masa sama, katanya, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.18 bilion menerusi geran Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi pembinaan kolam takungan air pinggiran sungai (TAPS) yang mempunyai dwi-fungsi sebagai sumber bekalan air dan penebatan banjir.

"Tambahan kepada itu, kolam-kolam yang dikenal pasti akan berfungsi sebagai TAPS dwi-fungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air yang dapat menangani kemarau serta menyimpan air bagi tujuan penebatan banjir," katanya.

Selain itu, menurutnya, Skim Bekalan Air Rasau akan memberi nafas baharu kepada Sungai Klang dengan mengekstrak air ke loji rawatan air dan dijangka dapat menyumbang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran air pada tahun 2030.

"Ini adalah peningkatan sebanyak 13 peratus, iaitu pada kadar kini sebanyak 7 peratus daripada jumlah keseluruhan sumber air negeri.

"Memahami kepentingan air kepada rakyat Selangor, kerajaan negeri sentiasa peka dengan isu semasa berkaitan air dan menambah baik sistem bekalan air untuk manfaat sejagat," katanya.

Tambah Amirudin, beliau turut menghargai kerajaan Persekutuan di atas sokongan dan kerjasama diberikan bagi menjayakan usaha itu demi kepentingan kira-kira lapan juta penduduk di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.