86 kawasan di Kuantan alami gangguan bekalan air 6 September

Sebanyak 86 kawasan di Kuantan dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada 6 September ini. - Foto 123RF
Sebanyak 86 kawasan di Kuantan dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada 6 September ini. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 86 kawasan di daerah ini dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada jam 12 tengah hari pada 6 September ini.

Gangguan tersebut berpunca daripada kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Rumah Pam Kobat oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip).

Kerja-kerja tersebut untuk meningkatkan lagi kapasiti dan kualiti pembekalan air di daerah Kuantan pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Bokhari memberitahu, kerja-kerja tersebut melibatkan penyelenggaraan paip air mentah jenis Mild Steel Cement Lining (MSCL) bersaiz 1,500mm dan pemasangan pam air mentah baharu yang berkapasiti lebih besar dan kadar keberkesanan lebih tinggi.

"Bagaimanapun, tidak semua kawasan terlibat secara keseluruhan kerana pihak Paip masih mempunyai paip air mentah tambahan bersaiz 1,600mm.

"Kerja-kerja penyelenggaraan ini dijangka mengambil masa selama 12 jam dan pihak Paip akan berusaha sebaik mungkin untuk meminimakan tempoh gangguan tersebut.

"Sebagai persediaan kerja-kerja awalan telah dilaksanakan untuk memastikan tempoh gangguan yang minima," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, senarai kawasan yang dijangkakan mengalami gangguan bekalan air berjadual iaitu seluruh kawasan Beserah sehingga sempadan Chendor termasuk MCKIP, Maritim, Bandar Damansara, Taman Dato’ Rashid, Batu Hitam, Kampung Darat Sekolah, Jeram, Sungai Karang Maju, Aspa Cottage, Jabor, Sungai Karang, Chengal Lempong, Balok, Seberang Balok, Sungai Ular, pelabuhan, Cherating dan Kubang Ikan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, turut terlibat di seluruh kawasan Gebeng Industri Fasa I, II, III, MCKIP, dan seluruh kawasan pelabuhan, seluruh kawasan Jalan Jabor, Kampung Alor Batu Jabor, Jalan Semambu, Politeknik Semambu, kawasan perumahan Semambu, kawasan Industri Semambu, seluruh kawasan kiri, kanan Jalan Tengku Muhammad.

Selain itu, tambahnya, Pelindung Jalan Tengku Muhamad, Pejabat Ukur, Jalan Beserah, kawasan Alor Akar, Sri Kuantan, Kubang Buaya, seluruh kiri, kanan Jalan Teluk Sisek, Teluk Chempedak, Istana Mahkota Teluk Sisek, Tanjung Api, Taman Gelora, Padang Lalang, Tanjung Api, Taman Selamat, Tembeling Resort dan Kelab Golf Diraja juga terbabit.

"Seluruh kawasan Bukit Sekilau, Jalan Bukit Ubi, Jalan Kenanga, Taman Bukit Ubi, Taman Sungai Charu, Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Haji Ahmad, Galing, Setali, dan Air Putih dan seluruh kawasan Taman Fairmount, Bukit Beirut, Jalan Bukit Setongkol, Bukit Setongkol, dan Cenderawasih.

"Turut terjejas, seluruh kawasan RTP Bukit Goh, Bukit Goh Gen 2, Bukit Goh Perdana, Bukit Kuantan, dan sebahagian Tanjung Pasir, seluruh kawasan Indera Mahkota (IM) 1, 2, 3, 5, 6, Kg Tiram, Tiram Perdana, Taman Shahzan, Taman Radiance, Kompleks Tun Razak, Pejabat Daerah dan Tanah, Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI), Ibu Pejabat Paip, Terminal Sentral, Bomba IM, dan Widad," kata Saiful lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bekalan air dijangka mula disalurkan kepada pengguna selepas 12 jam sehingga 48 jam secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja penyelenggaraan siap sepenuhnya dan seterusnya sistem agihan bekalan air telah distabilkan.

Ujar Saiful, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas juga adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

"Paip juga akan menyediakan bantuan alternatif melalui lori tangki air kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

"Justeru itu, Paip berharap dengan pemakluman awal notis ini dapat memberikan persediaan awal kepada pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini," jelas beliau.

Dalam pada itu, Saiful memberitahu Paip juga akan memastikan kerja-kerja ini dapat dilaksanakan dengan penuh teliti dan produktif mengikut perancangan bagi memastikan kemudahan infrastruktur bekalan air yang baik dan berkualiti kepada pengguna pada masa akan datang.

Menurutnya, pengguna yang ada sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (Pulapel) di talian 09-573 9999.