Di mana Jho Low berada?

Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low
Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low
A
A
A

AHLI perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low yang didakwa menjadi jerung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih lagi gagal dikesan dan belum ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa sehingga kini.

Malah ada pihak yang mendakwa ahli perniagaan dalam buruan itu masih bersembunyi di China.

Perkara itu didedahkan penulis bersama buku 'Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World', Bradley Hope yang berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai.

Menurut Hope gambar didakwa bertarikh 24 Disember 2019 itu diterimanya daripada sumber boleh dipercayai dan kali terakhir Jho Low dilihat adalah pada tahun 2019 namun keberadaan lelaki itu tidak diketahui apabila pandemik Covid-19 melanda dunia.

Usaha mengesan Jho Low turut dipergiatkan dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) selain siasatan itu turut dijalankan pihak berkuasa asing Singapura dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun sehingga kini ahli perniagaan itu masih gagal dikesan dan keberadaannya menjadi tanda tanya meskipun ada yang mendakwa lelaki itu bersembunyi di negara China.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan setakat ini permohonan ekstradisi ke atas Jho Low tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaan ahli perniagaan itu di negara mereka.

Artikel Berkaitan:

Acryl Sani. Gambar kecil: Jho Low
Acryl Sani. Gambar kecil: Jho Low

Jelas Acryl Sani, sehingga kini usaha menjejaki Jho Low masih giat dijalankan dan segala maklumat diterima mengenai keberadaannya di negara asing telah diteliti kesahihannya menggunakan saluran kerjasama antarabangsa.

Hal ini menunjukkan mana-mana negara ahli yang mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, negara berkenaan bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat bagi proses permohonan ekstradisi.

Pada Rabu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan sudah tiba masanya Malaysia memburu ahli Jho Low yang didakwa menjadi jerung skandal 1MDB.

Syed Saddiq turut mempersoalkan bagaimana Jho Low boleh berada di negara China dengan bersuka ria bersama keluarga dan rakan tanpa ditangkap dan jawapan itu boleh diperolehi menerusi jawapan formal daripada mereka (China).

Usaha menjejaki Jho Low tersebut dengan membawanya pulang ke Malaysia dapat merungkai pelbagai kes penyelewengan yang melibatkan aset-aset negara mencecah bilion ringgit.

Menjejaki Jho Low adalah penting dan perlu dianggap serius memandangkan ia juga berkait dengan pertambahan jumlah hutang negara.

Jawapan bagi segala persoalan itu boleh dirungkai menerusi kesepakatan antara Malaysia dan China dalam usaha memburu Jho Low sekiranya benar dia berada di negara itu.

Jho Low perlu dibawa ke muka pengadilan atas jenayah yang dilakukan kerana difahamkan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan daripada dana 1MDB oleh Jho Low dan beberapa pegawai peringkat tinggi yang menguruskan dana itu serta sekutu mereka.

Persoalannya di mana Jho Low bersembunyi dan sehingga kini masih gagal dikesan meskipun Polis Diraja Malaysia cuba mengesan dan membawanya pulang ke negara ini, namun usaha pihak berkuasa setakat ini masih belum berhasil.

Perkara ini memberi tamparan hebat kepada negara kerana Jho Low dan rakan sekutunya masih bebas di luar sana sedangkan Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi menjalani perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB.