ECRL tiba, KB Sentral ke mana?

KETIKA Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) semakin menghampiri Kelantan dengan tawaran perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu bermula RM125, satu persoalan besar menanti negeri ini: Mampukah Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) siap seiring kemunculan rangkaian rel berkenaan?
Persoalan itu bukan sekadar mengenai kelewatan pembinaan sebuah terminal bas, sebaliknya menyentuh keupayaan Kelantan menyatukan pengangkutan awam bagi memastikan limpahan pembangunan ECRL benar-benar dirasai rakyat.
Hakikatnya, ECRL dan KB Sentral di Tunjong mempunyai potensi saling melengkapi. Kedudukan kedua-dua projek yang bersebelahan membuka peluang kepada pengguna untuk bertukar mod pengangkutan dengan lebih mudah, sekali gus menjadikan kawasan itu hab pengangkutan awam yang strategik.
Namun, potensi itu hanya dapat direalisasikan sekiranya kedua-duanya bergerak seiring, bukannya satu siap mendahului yang lain tanpa perancangan penyelarasan yang jelas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan persetujuan Malaysia dan China untuk menyambung laluan ECRL ke Rantau Panjang.
Cadangan itu berpotensi membuka hubungan rel berhampiran Thailand, sekali gus memberi ruang kepada Kelantan memperluas perdagangan dan kegiatan ekonomi di kawasan sempadan. Bagaimanapun, kerajaan negeri masih menantikan perkembangan lanjut kerana cadangan sambungan berkenaan memerlukan penelitian serta perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengumumkan tambang kelas Ekonomi ECRL bagi perjalanan Gombak-Kota Bharu bermula RM125 sehala untuk perkhidmatan Transit dan RM147 bagi Ekspres.
Kadar yang diluluskan Jemaah Menteri pada 16 Oktober lalu itu menjadikan persoalan akses pengangkutan susulan semakin penting. Perjalanan yang lebih mudah dengan kereta api perlu disokong rangkaian bas yang cekap untuk membawa penumpang ke destinasi seterusnya.
Di sinilah KB Sentral perlu memainkan peranannya. Pada 31 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan surat lulus peruntukan RM250 juta bagi pembinaan KB Sentral kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Anwar berkata, peruntukan itu diluluskan bagi memastikan kemudahan pengangkutan bas di Kelantan turut diberi perhatian selain lapangan terbang.
Bagaimanapun Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin menegaskan peruntukan diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi KB Sentral kepada Kelantan ialah RM30 juta, bukannya RM250 juta seperti diperkatakan sebelum ini. Katanya, peruntukan itu berdasarkan surat kelulusan rasmi diterima kerajaan negeri.
Ujarnya, peruntukan RM500 juta pernah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga masih belum diterima kerajaan negeri.
Izani berkata, proses itu akan diteruskan melalui kaedah bina, kendali dan serah (BOT) dan pemilihan kontraktor bagi projek berkenaan sudah dilaksanakan dan kerajaan negeri menyasarkan pelantikan itu akan dibuat tahun ini.
Jika proses penganugerahan projek dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut, kontraktor boleh menguruskan kelulusan perancangan sebelum memulakan kerja pembinaan pada 2027. Kos bangunan stesen sahaja dianggarkan antara RM50 juta hingga RM70 juta, manakala komponen pembangunan lain masih memerlukan penelitian berdasarkan cadangan kontraktor dan potensi pulangan pelaburan.
Kelantan kini berdepan peluang untuk mengubah landskap pengangkutan awamnya. ECRL boleh membawa penumpang masuk, manakala KB Sentral berpotensi menghubungkan mereka ke pelbagai destinasi.
Persoalannya, apabila ECRL tiba, adakah KB Sentral sudah bersedia menyambut penumpang atau rakyat masih perlu menunggu?
*Hazelen Liana Kamarudin ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

