Politik semakin matang atau pengundi semakin bosan?

No Image Caption
A
A
A

SUASANA kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang dilihat kurang hangat berbanding pilihan raya sebelum ini menimbulkan persoalan sama ada keadaan itu mencerminkan kematangan politik atau petanda rakyat semakin hilang minat terhadap proses demokrasi.

PRN kali ini menyaksikan 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hanya tiga calon Bebas berbanding 22 pada PRN Melaka 2021.

Perubahan landskap pertandingan itu turut disusuli suasana kempen yang dilihat lebih terkawal, tanpa terlalu banyak serangan peribadi, provokasi dan pertelingkahan terbuka antara parti bertanding.

Pendekatan tersebut selari seruan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh yang mahu gagasan Melaka Sayang Rakyat diteruskan menerusi kepimpinan tanpa budaya fitnah dan politik kebencian.

Beliau sebelum ini menyifatkan pendekatan kempen BN yang mengelakkan politik kebencian, hasutan dan fitnah sebagai gambaran kematangan politik dalam pilihan raya kali ini.

Nada sama turut ditampilkan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim yang mengingatkan calon parti itu supaya tidak bersikap besar kepala atau terlalu selesa hanya kerana mewakili parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, PKR mahu menampilkan sikap rendah diri dengan menganggap diri sebagai pasukan underdog dalam persaingan di Melaka.

Namun, gambaran kempen yang lebih matang dan terkawal itu tidak bermakna perjalanan PRN kali ini bebas sepenuhnya daripada insiden yang mencemarkan proses demokrasi.

Beberapa kejadian vandalisme membabitkan bahan kempen parti politik dilaporkan, termasuk dakwaan pembakaran bendera Parti Bersama Malaysia (Bersama) di DUN Paya Rumput.

Artikel Berkaitan:

Polis turut menerima lapan laporan berkaitan PRN Melaka dengan enam daripadanya membabitkan kejadian khianat terhadap bahan kempen.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian dilaporkan termasuk perbuatan merosakkan, mematahkan, mencabut, mengoyakkan serta membakar bendera dan bahan kempen parti politik.

Selain insiden berkenaan, satu lagi perkembangan yang mencuri perhatian ialah sambutan terhadap aktiviti kempen secara fizikal, khususnya ceramah kelompok yang dilihat kurang mendapat sambutan masyarakat.

Tinjauan di media sosial turut memperlihatkan beberapa ceramah politik lengang, kurang dihadiri orang awam berbanding jentera parti memenuhkan kerusi.

Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada pengundi semakin kurang berminat mengikuti perkembangan politik menerusi ceramah secara fizikal atau sebenarnya sudah mempunyai pilihan masing-masing sebelum hari pengundian.

Bagaimanapun, kempen tenang tidak semestinya menggambarkan rakyat tidak mengambil tahu perkembangan politik, begitu juga ceramah yang kurang mendapat sambutan tidak boleh dijadikan ukuran bahawa pengundi sudah hilang minat terhadap pilihan raya.

Sebaliknya, perubahan corak kempen dan pendekatan pengundi mendapatkan maklumat politik perlu dilihat secara lebih menyeluruh, terutama dalam era penggunaan media sosial yang semakin meluas.

Justeru, cabaran sebenar parti bertanding bukan sekadar memastikan kempen berlangsung secara aman, tetapi turut meyakinkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada 14 November ini.

Ini kerana kematangan politik bukan hanya diukur melalui ketiadaan provokasi, fitnah atau persengketaan antara parti, sebaliknya turut mencerminkan kesedaran rakyat menggunakan hak demokrasi untuk menentukan kepimpinan negeri.

Akhirnya, sama ada BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Bersama atau calon Bebas yang menjadi pilihan, keputusan tetap terletak di tangan pengundi.

Jangan sampai kempen yang kelihatan hambar akhirnya diterjemahkan kepada peratusan keluar mengundi rendah kerana demokrasi hanya bermakna apabila rakyat bersedia menggunakan hak mereka menentukan masa depan negeri.

*Norafiza Jaafar ialah Wartawan Sinar Harian Melaka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!