Usaha kesan Jho Low giat dijalankan dengan bantuan Interpol

Acryl Sani. Gambar kecil: Jho Low
Acryl Sani. Gambar kecil: Jho Low
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha mengesan individu dikehendaki Low Taek Jho berhubung penglibatanya dalam skandal penyelewengan dana Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah memfailkan sebanyak 13 pertuduhan walaupun tanpa kehadiran individu yang lebih dikenali sebagai Jho Low itu.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah memohon dan memperoleh notis merah (pelarian dikehendaki untuk pendakwaan) daripada Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Jho Low pada 2018.

"Setakat ini permohonan ekstradisi ke atasnya tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaan Jho Low di negara mereka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Acryl Sani berkata, siasatan terhadap Jho Low turut dijalankan pihak berkuasa asing termasuk Singapura serta Amerika Syarikat (AS) dan kedua-dua negara terbabit telah memfailkan pertuduhan terhadapnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, notis merah yang dikeluarkan Interpol mewajibkan 195 negara ahli untuk memaklumkan sekiranya mengesan individu dalam buruan terbabit.

"Sekiranya mana-mana negara ahli mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, negara berkenaan bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat bagi proses permohonan ekstradisi.

"Sehingga kini usaha menjejaki Jho Low masih giat dijalankan dan segala maklumat diterima mengenai keberadaannya di negara asing telah diteliti kesahihannya menggunakan saluran kerjasama antarabangsa," jelas Acryl Sani.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada PDRM untuk membantu mengesan di mana keberadaan Jho Low.

"Maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui talian CCID Infoline di talian 0132111222 (WhatsApp sahaja) atau di mana-mana balai polis berhampiran," ujar beliau.