Sanggup berhenti kerja jaga abang terlantar

Mohd Shahruddin (kiri) sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menjaga abangnya yang hilang upaya untuk bergerak selepas diserang penyakit kanser prostat di Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang.
Mohd Shahruddin (kiri) sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menjaga abangnya yang hilang upaya untuk bergerak selepas diserang penyakit kanser prostat di Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang buruh binaan dari Kampung Kedai Lama di sini, sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menjaga abangnya yang hilang upaya untuk bergerak selepas diserang penyakit kanser prostat.

Muhammad Shahrizan Hamzah, 29, disahkan menghidap penyakit itu sejak empat bulan lalu menyebabkan dia hanya mampu terlantar di atas katil selain perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Adiknya, Mohd Shahruddin, 27, berkata, keputusan untuk menjaga abangnya diambil selepas ibunya Mek Yam Sorep, 69, turut berdepan dengan masalah kesihatan iaitu tekanan darah rendah.

"Walaupun tindakan saya (berhenti kerja) akan menjejaskan sumber pendapatan keluarga, namun itu pilihan terbaik yang ada buat masa ini," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shahruddin berkata, abangnya memerlukan penjagaan rapi selepas tidak mampu bergerak seperti manusia normal lain serta terpaksa memakai lampin pakai buang.

Katanya, bagaimanapun dia lega apabila adik-beradik lain turut tampil membantu bagi meringankan beban selain jiran tetangga.

"Hanya saya dan abang sahaja yang belum berkahwin. Lima lagi adik-beradik kami sudah mempunyai keluarga masing-masing," katanya.

Tambahnya, setiap bulan sebanyak RM1,000 diperlukan untuk membeli barangan keperluan abangnya itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan kedudukannya ketika ini dia buntu memikirkan nasib yang terpaksa ditanggung oleh mereka sekeluarga.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Muhammad Shahrizan Hamzah di 0301641100038387.