Azerbaijan tidak minat cetus ketegangan dengan Armenia

Azerbaijan tidak berminat untuk mencetuskan lebih banyak ketegangan dengan Armenia. - Foto 123RF
Azerbaijan tidak berminat untuk mencetuskan lebih banyak ketegangan dengan Armenia. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Azerbaijan tidak berminat untuk mencetuskan lebih banyak ketegangan dengan Armenia, kata Kuasa Usaha sementara kedutaan Azerbaijan di Malaysia, Rafig Rustamov.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, beliau berkata sebaliknya, Azerbaijan kini sedang melaksanakan projek pelaburan berskala besar dengan memperuntukkan berbilion dolar di kawasan dekat dengan zon ketenteraan.

"Kami juga sedang giat menjalankan kerja-kerja pembinaan semula dan pemulihan pasca konflik. Konfrontasi ketenteraan hanya akan menjejaskan projek-projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan mengenai pendirian Azerbaijan berikutan pertempuran terbaharu antara Azerbaijan dan Armenia di sempadan pada Selasa.

Kedua-dua pihak kini saling menuding jari susulan pertempuran itu yang disifatkan paling sengit sejak perang September 2020.

Menurut Armenia, 49 askarnya terbunuh dalam pertempuran itu, manakala Azerbaijan pula mendakwa 50 askarnya terkorban.

Baku berkata, sejak 9 pagi, 13 September dengan mengambil kira permintaan rakan kongsi asing, persetujuan dicapai mengenai gencatan senjata.

Rustamov mendakwa tindakan Yerevan menjejaskan mesyuarat Brussels pada 31 Ogos 2022 dan Azerbaijan mencadangkan pertemuan antara menteri luar kedua-dua negara diadakan pada akhir September, tetapi Armenia belum memberikan sebarang maklum balas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berapa hari lalu, pihak Azerbaijan telah membebaskan lima lagi warga Armenia yang ditahan di Azerbaijan tanpa melibatkan pihak ketiga sekali gus melambangkan kesediaan Baku ke arah proses damai.

"Tembakan yang dilepaskan itu menunjukkan penentangan kepada agenda damai, yang amat diperlukan untuk keselamatan, kemakmuran dan kewujudan bersama di kawasan kejiranan kita. Armenia perlu segera kembali ke meja rundingan damai," kata Rustamov.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan dan menyeru kedua-dua pihak mengambil langkah segera bagi meredakan ketegangan dan menyelesaikan sebarang isu melalui dialog. - Bernama