Guna siren atasi konflik gajah, manusia

Mohd Akmal melihat secara dekat penggunaan sistem pagar siren gajah di Kampung Punan, Kluang Johor ketika melawat kawasan berkenaan pada 12 September lalu.
Mohd Akmal melihat secara dekat penggunaan sistem pagar siren gajah di Kampung Punan, Kluang Johor ketika melawat kawasan berkenaan pada 12 September lalu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak bersetuju menggunakan teknologi siren sebagai usaha mengatasi konflik di antara gajah dan manusia di beberapa lokasi di negeri ini.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pihaknya sudah mengadakan lawatan ke Kampung Punan, Kluang, Johor pada 12 September lalu bagi melihat penggunaan sistem pagar siren gajah yang digunakan di situ.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan dan maklum balas daripada penduduk Orang Asli di kampung tersebut, mereka mengakui keberkesanan teknologi berkenaan.

"Hari ini saya telah masukkan di dalam mesyuarat exco tentang hasil lawatan saya di kampung berkenaan. Saya nampak agak sesuai teknologi ini dibawa ke Perak cuma ada satu lagi teknologi di Thailand yang menggunakan teknologi siren. Kalau boleh kita akan pergi lihat dalam masa terdekat.

"Setakat ini kerajaan negeri boleh bersetuju dengan kedua-dua teknologi ini untuk dibawa masuk ke Perak," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Menurutnya, kos bagi pagar siren yang dibangunkan oleh Wildlife Conservation Society (WCS) bagi 0.4 hektar berjumlah RM400 manakala teknologi yang digunakan di Thailand itu pula difahamkan RM32,000 bagi jarak 14km.

Mohd Akmal berkata, lawatan dan tinjauan yang dibuat sebelum ini turut melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, teknologi yang digunakan di Johor itu tidak memerlukan tenaga pakar dan penyelenggaraan boleh dilakukan oleh penduduk kampung.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk menghantar beberapa Orang Asli di negeri ini ke kampung berkenaan untuk mempelajari penggunaan teknologi tersebut.