Wang tunai, barang kemas RM35,000 dilarikan pencuri

Siti Nor Rafeeqa menunjukkan tingkap rumahnya yang diumpil pencuri dalam kejadian di Kampung Gong Mengkelih, Pasir Puteh.
Siti Nor Rafeeqa menunjukkan tingkap rumahnya yang diumpil pencuri dalam kejadian di Kampung Gong Mengkelih, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang wanita sarat mengandung lima bulan kerugian RM35,000 selepas wang tunai termasuk barangan kemas miliknya dilarikan pencuri dalam kejadian di Kampung Gong Mengkelih di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, wang tunai RM20,000 yang juga modal suaminya menjual daging lembu turut 'dikebas' pencuri tersebut.

Mangsa, Siti Nor Rafeeqa Abdul Hamid, 29, berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat bersama anak ketiganya, Ahmad Qayyim Rizqi, 4, sementara suami, Rozman Ishak, 46, berada di kedai.

"Dua lagi anak berada di sekolah. Semasa keluar dari bilik mahu ke tandas, saya melihat ada kelibat manusia.

"Apabila menoleh ke belakang, saya terkejut mendapati seorang lelaki tidak berbaju dan hanya berseluar pendek sedang berdiri sambil memegang sebilah pisau," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Rabu.

Dia berkata, lelaki yang berusia sekitar 30-an itu kemudian mengacukan pisau sambil bertanyakan di mana dia meletakkan beg.

Siti Nor Rafeeqa berkata, disebabkan takut dia terus masuk ke dalam bilik dan menyerahkan beg berisi wang tunai serta barang kemas kepada lelaki tersebut.

Lelaki itu kemudian meminta kunci rumah sebelum keluar melalui pintu dapur dan melarikan diri menggunakan motosikal Honda EX5 milik kami.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan saya, pisau yang digunakan diambil di dapur dan dia memasuki rumah ini melalui tingkap yang diumpil di dalam bilik belakang berhampiran dapur," katanya.

Dia berkata, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Katanya, penduduk kampung memaklumkan motosikal milik mereka ditemui di dalam semak di Kampung Chengal Pulas iaitu satu kilometer dari rumah.

Sementara itu, Rozman berkata, dia menafikan tular yang mengatakan lelaki pecah masuk ke rumahnya itu adalah banduan yang terlepas dalam kejadian di Pengkalan Chepa.

"Saya kecewa apabila warganet cuba menakut-nakutkan orang ramai dengan mendakwa banduan tersebut ada di sini.

"Lagipun isteri telah menyatakan suspek yang pecah masuk ke rumah kami adalah lelaki berkulit putih, kurus dan tinggi. Tidak sama dengan banduan yang terlepas sebagaimana tular," katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintanden Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.