Geng Pendang terlibat pecah rumah tumpas

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menumpaskan 'Geng Pendang' yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit, selepas menahan empat lelaki Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya menahan empat lelaki berusia lingkungan 29 hingga 39 tahun itu dalam siri serbuan di sekitar Kedah, bermula pukul 6 petang.

"Lelaki pertama ditahan di Sungai Petani dan seterusnya lelaki kedua di Pendang, manakala dua lagi suspek di Alor Star, berdasarkan siasatan mereka dipercayai terlibat (dalam) sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di sekitar SPU sejak awal tahun ini.

"Berdasarkan siasatan mereka dipercayai datang ke SPU dan kemudiannya melakukan jenayah pecah rumah pada waktu malam sebelum kembali ke Pendang semula untuk bersembunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Katanya, ekoran penahanan empat suspek yang tidak bekerja itu, polis turut menahan pemilik sebuah kedai emas berusia 42 tahun di Alor Star pada Ahad, yang dipercayai membeli barang kemas daripada geng tersebut.

"Semua suspek termasuk pemilik kedai emas itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, mereka kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah rumah.

"Kes itu disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun kerana memiliki pelbagai senjata termasuk sepucuk pistol dan empat butir peluru serta sebilah parang dalam pemeriksaan di Mak Mandin, di sini, 7.30 malam Isnin.

Artikel Berkaitan:

Lelaki dari Klang, Selangor itu dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes merusuh dengan senjata.

"Ketika pemeriksaan, polis menemui pistol jenis Zoraki M906-T dan empat butir peluru itu di bahagian pinggangnya manakala senjata lain ditemui di bawah tempat duduk pemandu.

"Polis turut merampas ganja serta syabu bernilai RM300 bersamanya dan suspek turut positif dadah," katanya.

Beliau berkata, lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai lima rekod lampau itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958. - Bernama