Isu Lynas, perlu penyelesaian menang-menang

Andansura Rabu
Andansura Rabu
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu sisa buangan loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas di Gebeng bagi mendapat satu keputusan menang-menang.

Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, kerajaan seperti tiada solusi atau jalan penyelesaian baharu bagi menyelesaikannya selain penegasan agar sisa buangan Lynas itu dihantar keluar.

Menurutnya, satu cadangan atau langkah baharu yang lebih berkesan diharapkan bagi menyelesaikan masalah yang berlanjutan sejak beberapa tahun ini namun perkara sama juga yang dicadangkan

"Persoalannya, kenapa perlu tunggu sehingga September 2019 untuk arahkan Lynas keluarkan sisa buangan mereka.Sepatutnya kerajaan yang berkuasa hari ini kena tunai janji tutup operasi Lynas kalau itu ketegasan mereka.Tidak perlu tunggu setahun," katanya kerika ditemui di sini hari ini.

Andansura berkata, beliau cadangkan agar kerajaan wujudkan situasi menang-menang dengan membenarkan Lynas mencari jalan dan membuat kajian agar sisa berkenaan boleh digunapakai kemudiannya.

"Sementara itu, Lynas perlu mencari tapak pelupusan baharu yang lebih sesuai dan selamat.

"Kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan kebenaran untuk Lynas menggunakan tapak pelupusan Asian Rare Earth yang sedia ada di Bukit Merah, Perak bagi tujuan itu dengan pemantauan Lembaga PerlesenanTenaga Atom (AELB)," katanya.

Beliau berkata, sekiranya dalam tempoh yang diberikan, Lynas gagal mencari penyelesaiannya, jalan terakhir adalah mengarahkan syarikat itu mengeluarkan sisa buangan mereka dari negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Proses kelulusan untuk mengeluarkan sisa buangan Lynas sudah tentu mengambil masa dan adakah buangan mengandungi sisa radioaktif itu boleh dikeluarkan dan diterima negara lain.

"Sekiranya Lynas diberi peluang untuk beroperasi dalam tempoh setahun ini, sudah tentu sisa buangannya juga akan bertambah jadi seperti tiada jalan penyelesaiannya di situ," katanya.

Menurutnya, pihak yang menentang Lynas kena terima hakikat kilang itu beroperasi dengan selamat dan tiada bukti yang menyokong ia menjejaskan penduduk Kuantan.

"Segala yang kita jangkakan dulu tidak sama apa yang berlaku jadi semua pihak perlu terima hakikat itu dengan hati terbuka.

"Nasib pekerja dan ekonomi penduduk setempat juga kena fikirkan.

"Selesaikan masalah ini dengan cara terbaik dan bukan guna sentimen serta emosi yang boleh mengelirukan rakyat," katanya.