JSJK Bukit Aman masih teliti dakwaan Meta

Acryl Sani (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelantikan Duta Anti-Scam, di Maktab Polis Kuala Lumpur pada Selasa.
Acryl Sani (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelantikan Duta Anti-Scam, di Maktab Polis Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman masih meneliti dakwaan Meta Platform Incorporated berhubung beberapa akaun-akaun palsu di media sosial yang mempunyai kaitan dengan agensi berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau telah mengarahkan JSJK Bukit Aman untuk meneliti dakwaan tersebut.

"Kami menafikan sekeras-kerasnya (dakwaan tersebut) dan saya sudah arahkan JSJK untuk menelitinya.

“(Setakat ini) kita masih lagi menjalankan siasatan dan jika ada perkembangan JSJK akan memberi respon mengenainya,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelantikan Duta Anti-Scam, di Maktab Polis Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada 6 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan terdapat beberapa akaun palsu di media sosial yang mempunyai kaitan dengan agensi berkenaan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sama sekali tidak terlibat sebagaimana didakwa oleh Meta Platform Incorporated.

PDRM menafikan kenyataan Meta Platform Incorporated yang mendakwa terdapat akaun-akaun palsu di media sosial yang mempunyai kaitan dengan agensi itu.

Sebelum itu syarikat konglomerat media, Meta, menyatakan bahawa ada kemungkinan campur tangan pihak polis di sebalik penutupan lebih daripada 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia kerana menjadi platform ‘troll farm’.

Artikel Berkaitan:

Istilah 'troll farm' merujuk kepada laman sosial yang diwujudkan untuk menjejaskan dan memanipulasi wacana awam menerusi akaun-akaun palsu.

Laporan dari syarikat itu juga mendedahkan bahawa akaun-akaun terbabit dipercayai dipadam kerana melanggar polisi koordinasi perlakuan tidak sahih (Coordinated Inauthentic Behaviour - CIB), yang dipercayai berhubung kait dengan pasukan polis

Sejumlah 596 akaun, 180 laman ‘Pages’ dan 11 ‘Group’ telah dipadam dari Facebook sementara 72 akaun ditutup dari Instagram kerana menjadi sebahagian daripada jaringan itu.

Laporan itu mendakwa jaringan berasal dari Malaysia dan menjadikan audiens domestik di negara ini sebagai sasaran.

Menurut laporan tersebut, kira-kira 427,000 akaun Facebook mengikuti satu atau lebih halaman terbabit dengan kira-kira 4,000 akaun mengikuti satu atau lebih kumpulan berkenaan serta hampir 15,000 akaun mengikuti satu atau lebih akaun Instagram yang dapat dikenal pasti.

Sejumlah AS$6,000 (hampir RM26,740) dibelanjakan bagi iklan di Facebook dan Instagram yang dibayar terutama dalam ringgit.