PDRM nafi dakwaan Meta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan terdapat beberapa akaun palsu di media sosial yang mempunyai kaitan dengan agensi berkenaan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya sama sekali tidak terlibat sebagaimana didakwa oleh Meta Platform Incorporated.

"PDRM menafikan kenyataan Meta Platform Incorporated yang mendakwa terdapat akaun-akaun palsu di media sosial yang mempunyai kaitan dengan agensi itu.

"PDRM juga sedang mengumpul maklumat lanjut mengenai perkara tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu syarikat konglomerat media, Meta, menyatakan bahawa ada kemungkinan campur tangan pihak polis di sebalik penutupan lebih daripada 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia kerana menjadi platform ‘troll farm’.

Istilah 'troll farm' merujuk kepada laman sosial yang diwujudkan untuk menjejaskan dan memanipulasi wacana awam menerusi akaun-akaun palsu.

Laporan dari syarikat itu juga mendedahkan bahawa akaun-akaun terbabit dipercayaidipadam kerana melanggar polisi koordinasi perlakuan tidak sahih (Coordinated Inauthentic Behaviour - CIB), yang dipercayai berhubung kait dengan pasukan polis.

Sejumlah 596 akaun, 180 laman ‘Pages’ dan 11 ‘Group’ telah dipadam dari Facebook sementara 72 akaun ditutup dari Instagram kerana menjadi sebahagian daripada jaringan itu.

Laporan itu mendakwa jaringan berasal dari Malaysia dan menjadikan audiens domestik di negara ini sebagai sasaran.

Menurut laporan tersebut, kira-kira 427,000 akaun Facebook mengikuti satu atau lebih halaman terbabit dengan kira-kira 4,000 akaun mengikuti satu atau lebih kumpulan berkenaan serta hampir 15,000 akaun mengikuti satu atau lebih akaun Instagram yang dapat dikenal pasti.

Sejumlah AS$6,000 (hampir RM26,740) dibelanjakan bagi iklan di Facebook dan Instagram yang dibayar terutama dalam ringgit.