Tambahan 3,200 anggota bomba persiapan hadapi bencana

Mohammad Hamdan (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada seorang daripada 75 pegawai dan anggota bomba Pahang.
Mohammad Hamdan (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada seorang daripada 75 pegawai dan anggota bomba Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 3,200 pegawai dan anggota bomba yang berkhidmat di bahagian pentadbiran serta latihan akan disenaraikan untuk terlibat dalam operasi pengurusan bencana sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November depan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pertambahan bilangan anggota itu dibuat bagi membantu seramai 12,500 pegawai dan anggota bahagian operasi.

Tegasnya, kesiapsiagaan pegawai dan anggota tambahan itu dilakukan berdasarkan kemungkinan berlakunya banjir lebih teruk sebagaimana ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini.

"Berdasarkan laporan dan ramalan MetMalaysia, berkemungkinan MTL tahun ini adalah sama dengan tahun lalu dan mungkin lebih teruk, jadi kita perlu bersedia dengan jumlah pegawai dan anggota mencukupi.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada semua pegawai dan anggota, termasuk mereka yang bertugas di pejabat atau di akademi latihan untuk bersama-sama terlibat dalam operasi bencana pada tahun ini," katanya dalam satu sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 JBPM Pahang di Dewan Sri Mahkota di sini pada Selasa.

Dalam majlis itu Mohammad Hamdan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 75 pegawai dan anggota bomba Pahang.

Turut hadir Pengarah Bomba Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Selain keanggotaan, beliau menegaskan sebanyak 1,808 aset darat, air dan udara akan digerakkan apabila berlaku bencana banjir.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,400 adalah kenderaan darat, aset logistik marin atau air (400) dan lapan pesawat helikopter yang berpangkalan di tiga lokasi iaitu Bertam, Pulau Pinang; Subang, Selangor dan Miri, Sarawak.

"Kesemua aset ini sudah bersedia dan akan digerakkan apabila berlaku musibah banjir dalam tempoh MTL," ujar beliau.

Ditanya mengenai mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, Mohamad Hamdan berkata, mesyuarat sama di peringkat negeri dan daerah akan diadakan bermula hujung minggu ini.

Tegasnya, semua jawatankuasa pengurusan bencana daerah sudah diaktifkan sebaik sahaja Perdana Menteri mengeluarkan arahan selepas mesyuarat pagi Ahad.

"Mesyuarat membabitkan agensi dan kerajaan negeri serta daerah akan diadakan minggu ini bagi menyelaraskan tugasan semua agensi terbabit," kata Mohammad Hamdan.

Sehubungan itu, Mohammad Hamdan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir di kawasan mereka.

Menurutnya, ia bagi memudahkan proses pemindahan dilakukan dilakukan oleh pasukan keselamatan.

"Semua perkara ini perlu diambil kira memandangkan negara pernah berhadapan bencana banjir di kawasan yang tidak dijangka seperti Bentong dan Maran sebelum ini.

"Pegawai dan anggota bomba bersama jentera akan ditempatkan di pangkalan hadapan tertentu supaya operasi menyelamat dan menghantar bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir diselaraskan dengan lebih berkesan," tegas beliau.