LIMA'23: 200 pegawai, anggota JBPM digerakkan ke Langkawi

Seramai 200 pegawai dan anggota JBPM akan digerakkan ke Langkawi sebagai persediaan LIMA '23.
Seramai 200 pegawai dan anggota JBPM akan digerakkan ke Langkawi sebagai persediaan LIMA '23.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 200 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan digerakkan ke Langkawi sebagai persediaan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Sayani Saidon berkata, ia melibatkan pegawai dan anggota JBPM dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Putrajaya.

Menurutnya, 20 peratus daripada jumlah terbabit akan bergerak ke sana pada 17 Mei ini untuk mula membuat persiapan termasuk membawa masuk aset JBPM seperti jentera dan peralatan.

"Baki 80 peratus lagi akan ke sana pada 21 Mei dan mereka akan berada di sana sehingga 28 Mei depan," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka JBPM Kedah di sini pada Isnin malam.

Sayani berkata, segala persiapan telah dirancang dengan baik dan JBPM akan terlibat dalam aspek mencari dan menyelamat (SAR).

"Fokus utama akan dibahagikan kepada tiga iaitu SAR laut, SAR darat dan SAR udara yang melibatkan kekuatan pegawai dan anggota seramai 200 orang," katanya.

Beliau berkata, JBPM juga sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang bencana yang mungkin berlaku akibat peralihan Monsun.

"Sekarang kita tengok berlaku peralihan monsun yang menyebabkan cuaca tidak seimbang.

"Sekejap hujan, kejap panas, tetapi keadaan cuaca tidak terlalu ekstrem, kebakaran belukar pun masih dalam keadaan terkawal dan kita memang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga," katanya.

LIMA 2023 akan berlangsung daripada 23 hingga 27 Mei yang bertemakan 'Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia' dan kali terakhir pameran dwitahunan itu dianjurkan adalah pada 2019.