Eksport tokotrienol sawit RM21.55 juta setakat Julai

Banyak bukti klinikal yang menunjukkan tokotrienol sawit memberi manfaat sekali gus dapat meningkatkan nilai eksport komoditi tersebut.
Banyak bukti klinikal yang menunjukkan tokotrienol sawit memberi manfaat sekali gus dapat meningkatkan nilai eksport komoditi tersebut.
A
A
A

MALAYSIA mengeksport tokotrienol sawit bernilai RM21.55 juta atau 19.45 tan dari Januari hingga Julai tahun ini, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, terdapat banyak bukti klinikal yang menunjukkan tokotrienol sawit memberi manfaat dan ia dapat meningkatkan nilai eksport komoditi tersebut.

"Di rantau Asia Pasifik, pasaran farmaseutikal, makanan perubatan dan makanan berkhasiat dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) yang lebih pantas sebanyak 11.5 peratus hingga 2022, diikuti dengan makanan tambahan dan diet. Sehingga 2022, hasil daripada vitamin E tokotrienol dijangka berkembang pada CAGR sebanyak 23.5 peratus.

"Saya pasti eksport ini akan berkembang dan terdapat masa depan yang cerah untuk tokotrienol dalam sektor farmaseutikal," katanya semasa webinar "Kemajuan dalam Penyelidikan dan Pembangunan Tokotrienol" pada Isnin.

Beliau berkata, saiz pasaran global tokotrienol bernilai AS$321.5 juta pada 2018 dan nilai potensi tokotrienol pada 2025/2026 dijangka mencecah AS$522 juta (AS$1=RM4.50).

Pembentangan oleh Ahmad Parveez itu disampaikan oleh Ketua Unit Pemakanan, Bahagian Pembangunan Produk dan Khidmat Nasihat MPOB, Dr Kanga Rani Selvaduray.

Beliau berkata, tokotrenol sawit ialah bahan nutraseutikal/makanan semula jadi dan selamat yang memberi kesan baik kepada kesihatan dalam memerangi penyakit tidak berjangkit.

"Di dalam minyak sawit, 70 peratus komposisi vitamin E adalah tokotrienol, manakala 30 peratus adalah tokoferol. Vitamin E penting dalam melindungi kestabilan minyak, memanjangkan jangka hayat serta menyumbang kepada manfaat kesihatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ahmad Parveez berkata, MPOB menawarkan geran padanan tokotrienol: Kajian Klinikal Mengenai Faedah Kesihatan Tokotrienol Fasa II: kepada universiti, institut penyelidikan dan ahli dalam industri kelapa sawit Malaysia.

Setakat ini, sebanyak 11 projek telah diluluskan, katanya.

"MPOB bersama-sama Persatuan Ahli Sains dan Teknologi Minyak Malaysia (MOSTA), telah digalakkan untuk membuat kajian kebaikan tokotrienol dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Selepas beberapa siri perbincangan, tidak lama lagi tokotrienol boleh dijadikan sebagai antioksidan, membantu mengurangkan tekanan oksidatif serta meningkatkan fungsi kognitif.

"Kami sedang menunggu surat daripada KKM untuk membenarkan pemain industri menggunakan keberkesanan daripada kajian ini sebelum diwartakan dalam Akta Makanan,” katanya. - Bernama