India import 1.5 juta tan minyak sawit dari Malaysia

Malaysia merupakan pembekal kedua terbesar minyak makan ke India dalam tempoh enam bulan selepas Indonesia. - Gambar hiasan
Malaysia merupakan pembekal kedua terbesar minyak makan ke India dalam tempoh enam bulan selepas Indonesia. - Gambar hiasan
A
A
A

NEW DELHI - India mengimport lebih 1.5 juta tan minyak sawit dari Malaysia sejak enam bulan lalu.

Ia terdiri daripada hampir 1.3 juta tan minyak sawit mentah (MSM), 205,387 tan metrik olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dan 24,988 tan minyak isirung sawit mentah.

Pada bulan April sahaja, India mengimport 175,384 tan minyak sawit dari Malaysia.

Import keseluruhan minyak boleh dimakan di India dalam tempoh November-April melebihi lapan juta tan, termasuk 4.9 juta tan minyak sawit, menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) pada Jumaat.

Malaysia merupakan pembekal kedua terbesar minyak makan ke India dalam tempoh enam bulan selepas Indonesia, iaitu sumber utama bekalannya.

Berdasarkan jumlah, 35 peratus daripada MSM India dan 18 peratus daripada olein sawit RBD adalah dari Malaysia.

Secara keseluruhannya, import minyak sawit India turun sebanyak 31 peratus kepada 505,000 tan pada April berbanding 728,000 tan pada Mac, 2023.

Import minyak sayuran India pada April turun 10 peratus berbanding Mac. - Bernama