Menangis terlepas hukuman gantung

Ahmad Nizam (tengah) bersama ibu bapa dan keluarga tertuduh yang menangis selepas tertuduh dibebaskan dari tuduhan mengedar dadah. Gambar kiri: Wan Mohamad Azlan
Ahmad Nizam (tengah) bersama ibu bapa dan keluarga tertuduh yang menangis selepas tertuduh dibebaskan dari tuduhan mengedar dadah. Gambar kiri: Wan Mohamad Azlan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga alat ganti kenderaan menangis syukur di Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad selepas dilepas dan dibebaskan dari tuduhan mengedar 342.3 gram dadah jenis metamphetamine sekali gus terlepas hukuman tali gantung.

Keputusan dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas terhadap duda berkenaan, Wan Mohamad Azlan Wan Mohamod, 34, pada keputusan di akhir kes pembelaan.

Mohamad Abazafree dalam penghakiman itu berkata, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap tiga elemen berkaitan akses dan kehadiran orang lain di bilik tidur tertuduh serta kewujudan sebuah kereta jenis Proton Satria milik orang lain.

“Keterangan tertuduh konsisten dari peringkat awal pendakwaan berkenaan seorang lelaki bernama Mohd Harif Mohd Azmi yang datang tidur di bilik tertuduh sebelum kediaman itu diserbu polis.

“Kewujudan Mohd Harif dibuktikan lagi menerusi namanya sebagai pemilik kereta jenis Proton Satria tersebut,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar 342.3 gram dadah jenis metamphetamine di Kampung Kepas, Jalan Banggol Jering, Pasir Mas pada jam 4.10 pagi, 2 September 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat minimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Keputusan pembebasan itu turut disambut dengan tangisan hiba oleh keluarga tertuduh termasuk ibu bapanya yang duduk di galeri awam mahkamah.